Pengunjung China Merosot, Terengganu Optimis Capai Sasaran Pelancong Tahun 2020
Ariffin optimis sasaran lima juta pengunjung dapat dicapai. |
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pihak pelancongan negeri melihat isu itu secara menyeluruh dan menumpukan promosi peluang-peluang lain yang ada.
“Secara asasnya, kita melihat memang akan ada masalah. Tetapi keseluruhannya, pelancong yang datang bukan dari China sahaja, ramai sebenarnya pelancong seperti dari Eropah, Timur Tengah yang datang ke pulau dan tanah besar kita.
“Kebanyakan pelancong dari negara China suka berkunjung ke pulau-pulau peranginan di Terengganu. Bagaimanapun, sehingga hari ini pulau-pulau masih belum dibuka lagi kepada orang ramai setelah ditutup musim tengkujuh lalu. Jadi kita tidak tahu lagi sejauh mana kesannya,” katanya.
Ariffin ketika meninjau keadaan Pura Tanjung Sabtu. |
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu meninjau kompleks rumah unik, Pura Tanjung Sabtu yang semakin usang, semalam.
Turut serta, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu), Ab. Rasid Jusoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT), Che Muhamad Azmi Ngah.
Menurut Ariffin, kerajaan negeri juga lebih menumpukan promosi kepada pelancong tempatan, yang mencatatkan lebih 80 peratus kunjungan ke Terengganu.
“Berdasarkan rekod kita, setakat ini, hanya 15 hingga 20 peratus pengunjung yang datang ke negeri ini merupakan pelancong luar negara.
“Kita masih ada harapan untuk mencapai sasaran 5 juta itu dengan menumpukan peluang-peluang lain dan membuat promosi di negara-negara lain,” jelasnya yang turut mendoakan agar wabak Coronavirus berjaya ditangani segera.