Peniaga Jangan Ambil Kesempatan - MB
Peniaga dinasihatkan agar tidak mengambil kesempatan terhadap pelancong dari dalam dan luar negara terutamanya ketika kerancakan kempen `Visit Beautiful Terengganu (VBT) 2017'.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, peniaga perlu lebih mesra dalam menyambut kedatangan pelancong dengan budaya yang baik serta mesra, selain berurusniaga dengan kadar yang munasabah.
“Harga barangan perlulah berpatutan. Harga yang mahal secara tidak langsung akan memberikan imej tidak baik kepada negeri ini sendiri.
“Jangan pula ada peniaga merosakkan apa yang sedang kerajaan negeri laksanakan dengan memberi layanan yang tidak baik kepada pelancong-pelancong ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Meraikan Pelancong ASEAN di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, malam tadi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Monspace Multinasional Corp, Dato’ Seri Jessy Lai.
Dalam pada itu, Ahmad Razif berharap, agar dengan kedatangan pelancong ke Terengganu sempena VBT 2017 akan merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat.
“Bermula esok (hari ini) seramai lebih 3,000 pelancong dari negara-negara ASEAN akan melawat ke sekitar Kuala Terengganu termasuk Pasar Kedai Payang, Kampung Cina dan Pulau Warisan.
“Diharapkan dengan kehadiran pelancong-pelancong yang begitu ramai akan memberi manfaat kepada rakyat kerana mereka sudah pasti mula berbelanja di tempat-tempat yang dibawa ini,” katanya.