Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Peniaga Lebih Gembira PKP 2.0
KUALA NERUS, 7 Februari - Rata-rata para peniaga yang ditemui menzahirkan kesyukuran kerana keadaan berbeza berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang lepas ekoran keputusan untuk membenarkan lebih banyak premis perniagaan beroperasi sempena PKP 2.0
Seorang penjual cendol, Izzati Azmi menzahirkan syukur boleh berniaga dan pendapatan tidak seperti PKP yang dahulu.
"Kalau PKP dahulu, saya tidak boleh berniaga tapi PKP kali ini dibenarkan dan hasil jualan seperti sebelum wabak dahulu iaitu RM500 ke RM600 sehari,” katanya yang turut menasihati orang ramai serta pelanggannya mematuhi SOP.
“Kita sedia maklum bahawa kerajaan sedang menjaga rakyat dan juga menjaga kestabilan ekonomi, kerana itu perniagaan dibenarkan. Sebagai rakyat kita kenalah jaga SOP yang ditetapkan”, katanya lagi.
Seorang lagi peniaga makanan sejuk beku, Aqilah Amran lega masih meraih pendapatan walaupun jualan tidak menentu.
"Kita mengikut apa sahaja arahan yang ditetapkan dan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk urusan jual beli. Semua pihak akan mendapat manfaat,” ujarnya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata beliau dan Pusat Khidmat Masyarakat sentiasa peka dengan permasalahan penduduknya dan menyarankan jika ada yang terkesan dengan PKP 2.0 ini boleh hadir ke PKM.
“PKM sedang giat mengagihkan barangan keperluan asas dan sudah mengarahkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk mengenalpasti mereka yang terkesan akibat PKP 2.0.”
Jelas Mohd Fadhil lagi, walaubagaimanapun jumlah bilangan yang dikenal pasti mendapat barang keperluan tidak seramai PKP 1.0 memandangkan kerajaan membenarkan aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa.