Ladang Rakyat Salur Zakat kepada Asnaf, Sekolah

KEMAMAN, 17 Mac – Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd (LRTSB) terus komited membantu masyarakat dengan meningkatkan sumbangan zakat tahunan kepada golongan asnaf dan institusi pendidikan, selaras dengan prestasi kewangan syarikat yang semakin kukuh.

Ketua Eksekutif LRTSB, Che Ku Hafeez Che Ku Denang berkata, pendapatan syarikat meningkat daripada RM9.58 juta pada tahun 2023 kepada RM37.18 juta pada tahun 2024, membolehkan syarikat menyalurkan zakat sebanyak RM1,373,332 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), termasuk RM343,333 yang diperuntukkan kepada golongan memerlukan.

“LRTSB turut memperluaskan bantuan kepada lebih banyak sekolah dalam usaha menyokong sistem pendidikan dan kebajikan pelajar.

"Pada tahun 2023, sebanyak 10 sekolah dengan 1,524 pelajar menerima bantuan, lebih membanggakan jumlah ini meningkat kepada 14 sekolah yang melibatkan 1,584 pelajar pada tahun 2024,” ujarnya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Zakat Kepada Asnaf & Sumbangan Aidilfitri Kepada Pekerja LRTSB 2025 di Cheneh Recreation & Resort.

Katanya, sekolah-sekolah yang menerima bantuan ini terdiri daripada institusi pendidikan di sekitar kawasan operasi syarikat, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ceneh Baru, SMK Cerul, SMK Seri Ceneh, SMK Durian Mas, Sekolah Kebangsaan (SK) Cheneh Baru, SK Felda Cherul, SK Pecah Rotan, SK Simpang Rawai, SK Pagar Besi, SK Bukit Wan, SK Durian Mas 1, SK Durian Mas 2, dan SK Lembah Bidong.

Selain itu, LRTSB turut mengagihkan zakat kepada beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk DUN Wakaf Mempelam, DUN Air Putih, DUN Chukai, DUN Kemasik dan DUN Batu Rakit sebagai sebahagian daripada usaha memastikan bantuan sampai kepada lebih ramai penerima yang layak.

Che Ku Hafeez turut berharap sumbangan ini dapat meringankan beban golongan asnaf serta membantu sekolah dalam menyediakan pendidikan yang lebih baik kepada pelajar.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah LRTSB, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemberian zakat ini bukan sekadar memenuhi kewajipan, tetapi turut menjadi bukti keprihatinan syarikat dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan, terutama dalam menyambut Syawal yang bakal tiba.

“Saya percaya bahawa setiap rezeki yang dikongsi akan membawa keberkatan, bukan sahaja kepada penerima, tetapi juga kepada seluruh organisasi.

"Semoga bantuan ini dapat meringankan beban golongan asnaf serta kakitangan LRTSB sempena Aidilfitri ini,” katanya.

Beliau yang hadir bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan ini turut menyeru semua pihak bersama-sama mendoakan agar LRTSB terus maju, berkembang dan mencapai keuntungan lebih besar supaya syarikat dapat terus menyalurkan lebih banyak sumbangan serta berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.


Tag: