Kerajaan Didesak Dedahkan Laporan Audit Forensik Sapura Energy
Kerajaan Didesak Dedahkan Laporan Audit Forensik Sapura Energy
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Kerajaan Persekutuan didesak mendedahkan laporan audit forensik Sapura Energy Berhad (SEB) yang didakwa telah dijalankan oleh firma Ernst & Young (E&Y) sebelum suntikan dana RM1.1 bilion diberikan kepada syarikat tersebut.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sehingga kini tiada sebarang pendedahan laporan audit itu kepada umum, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan mengenai ketelusan kerajaan dalam pengurusan dana awam.
“Jika benar audit telah dilaksanakan, kerajaan tidak mempunyai alasan untuk terus merahsiakannya.
“Kegagalan mendedahkan laporan ini hanya menimbulkan lebih banyak persoalan termasuk sama ada audit tersebut benar-benar wujud atau sekadar alasan untuk mewajarkan suntikan dana kepada SEB,”
Beliau berkata sedemikian dalam satu kenyataan media melalui Facebook rasminya baru-baru ini.
Ahmad Amzad turut menekankan bahawa tanpa laporan audit yang telus dan terperinci, rakyat tidak dapat menilai sama ada wujud ketirisan dalam pengurusan syarikat, siapa yang bertanggungjawab serta tindakan yang bakal diambil oleh pihak berkuasa.
“Suntikan dana sebanyak RM1.1 bilion ini melibatkan wang rakyat dan perlu diurus dengan penuh akauntabiliti.
“Pemberian dana sebanyak ini kepada syarikat tersebut tanpa audit yang jelas menimbulkan kebimbangan terhadap jaminan perlindungan wang negara.
“Ketidaktelusan dalam skandal seperti 1MDB dan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebelum ini telah mengakibatkan kerugian besar kepada negara dan membebankan rakyat membuktikan betapa pentingnya ketelusan dalam pengurusan dana awam bagi mengelakkan sejarah berulang,” tambahnya.
Menurut Ahmad Amzad, kerajaan sebelum ini berjanji bahawa jika audit forensik menemui sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa dalam SEB, tindakan tegas akan diambil.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu segera mendedahkan laporan audit forensik SEB bagi memastikan dana itu digunakan secara bertanggungjawab serta mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara.
“Ketelusan adalah kunci kepada kepercayaan rakyat.
"Kegagalan kerajaan mendedahkan laporan ini hanya akan menimbulkan lebih banyak syak wasangka bahawa suntikan dana ini adalah satu bentuk ‘bailout’ yang tidak berasaskan kepentingan awam,” katanya.