Peniaga Pasar Payang Baru Raih Keuntungan Berganda

KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Nur Edayu Arudin, seorang peniaga berpengalaman selama 14 tahun, menyatakan bahawa perpindahannya ke Pasar Payang Baru pada 1 Ogos lalu telah membawa kepada peningkatan ketara dalam perniagaannya.

Dia mengakui bahawa sambutan luar biasa semasa acara-acara besar seperti RXZ telah memberikan impak positif, dengan jualan harian kini meningkat dua kali ganda berbanding ketika beliau berniaga di pasar lama.

"Jualan harian meningkat ketika banyak program berlangsung ditambah lagi kawasan baru luas, kalau pasar lama sempit sikit, kalau kat sini selesa untuk pengunjung duduk.

"Semua kedai dapat manfaat dan ada pelanggan. Walaupun harga sewa meningkat sikit tapi mampu bayar berbanding kedai lama," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Pasar Payang, pada hari ini.

Nur Edayu memuji usaha kerajaan negeri kerap menganjurkan acara-acara besar yang mana menarik ramai pelancong, sekali gus meningkatkan jualan produk tempatan seperti keropok, cenderamata dan batik.

Menurut beliau, jualan hariannya mencecah antara RM3,000 hingga RM4,000 pada hari biasa, manakala cuti atau ketika acara berlangsung, jualannya boleh mencapai RM10,000, dengan keuntungan bersih sekitar RM3,000. 

"Produk yang paling laris ialah 'keychain' berbentuk helmet yang viral, mampu dijual antara 500 hingga 700 unit sehari dengan harga RM15 setiap satu semasa acara," katanya.

Dia berharap kerajaan akan terus menganjurkan acara-acara seperti motor dan kereta yang mampu menarik ramai pengunjung dari luar, sekali gus menyokong perniagaan tempatan.

"Kedai biasanya beroperasi dari jam lapan pagi hingga lapan malam, namun semasa acara besar, ia dibuka sehingga jam 10 malam.

"Selain itu, agensi-agensi kerajaan negeri juga kerap menempah produk sebagai cenderahati rasmi, memberi sokongan tambahan kepada perniagaannya," tambah beliau lagi.


Tag: