Peningkatan Pelaburan Perlu Lonjak Pendapatan Negeri
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Peningkatan pelaburan di Terengganu diharap dapat memberi pulangan serta hasil yang baik bagi meningkatkan pendapatan negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun berkata, keadaan demikian sewajarnya menjadi faktor bertambahnya pendapatan di negeri ini.
"Kita sebenarnya sangat mengalu-alukan pelaburan dari luar untuk tujuan penambahan hasil bagi kerajaan negeri.
"Walau bagaimanapun kita melihat ia tidak besar sebagaimana pelaburan yang berlaku, mungkin hasil diperolehi hanya daripada premium tanah dan hasil-hasil cukai yang tidak besar.
"Oleh itu kita mengharapkan kontrak-kontrak yang dijalankan dengan pelabur asing ini memberi pulangan yang lebih besar kepada negeri kita," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Sesi Perbahasan Ke Atas Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Mizan di Mesyuarat Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, dengan meningkatnya pelabur ke negeri ini kerajaan negeri perlu mengambil kesempatan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.
"Apabila bertemu dengan mereka yang menyatakan minat untuk melabur antara perkara yang dibangkitkan ialah adakah kerajaan Terengganu boleh menyediakan tenaga kerja untuk keperluan industri mereka," katanya.
Dalam pada itu katanya, DUN Telemong yang selama ini merupakan tempat yang paling kecil berlaku pelaburan berupaya untuk dijadikan sebahagian 'free trade zone'
"Kerana itu kita mengharapkan agar berlakunya sambungan lebuhraya antara Kuala Telemong dengan Jeneris supaya memberi suatu nilai impak yang lebih besar kepada industri di Hulu Terengganu agar ia selari dengan keperluan pertanian bagi membolehkan rakyat mengecapi kemajuan ini, insya-Allah," ujar beliau.