KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Semua penjawat awam diseru untuk memberikan sepenuh kerjasama dengan kepimpinan kerajaan serta membawa semangat islah iaitu perubahan ke arah kebaikan demi negara.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat hendaklah sentiasa ada penambahbaikan sama ada dari segi sistem, peraturan dan proses kerja.
“Justeru supaya memperolehi penghasilan yang baik dan manfaat kepada semua.
“Penjawat awam juga harus bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas dan sentiasa memberikan perkhidmatan yang mengutamakan rakyat," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Terengganu bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Tambah Bijaya Raja, laksanakan tugas dengan penuh profesional dan berintegriti, apatah lagi dalam era pasca normal yang mencabar dan penuh dengan ketidaktentuan,” katanya.
"Pada tahun 2023 ini dijangka akan menjadi tahun yang penuh dengan cabaran kepada kita semua.
“Menurut para penganalisis ekonomi dunia, tahun ini dijangka mencatatkan pertumbuhan yang perlahan terutamanya dalam kalangan negara-negara membangun," katanya.
Sementara itu, usaha melaksanakan segala dasar, program dan projek, penjawat awam adalah dituntut bersikap adil lagi telus dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Rasa tanggungjawab dan patriotisme dalam melaksanakan tugas perlu sebati dalam diri setiap penjawat awam,” ujarnya.
Sekaligus, menjunjung ketaatan kepada negara, kewajipan menyimpan segala rahsia kerajaan dan menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara melebihi kepentingan peribadi.