Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Penantian 234 pembeli projek Perumahan Padang Setengge di sini bakal menarik nafas lega kerana mereka akan menerima kunci rumah berkenaan tidak lama lagi, setelah tertangguh lebih dari sepuluh tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, ia sekali gus menamatkan penantian mereka untuk mendiami kediaman sendiri yang dinanti-nanti sekian lama.
“Saya dah bercakap dengan kontraktor penyelamat itu dan dimaklumkan semuanya telah pun selesai termasuk bekalan elektrik dari Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Kita akan dibuat penyerahan dalam masa yang terdekat.. insya-Allah pada tahun ini juga dengan rumah yang lebih cantik daripada asal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU Bagi Pembinaan Rumah Mesra Rakyat Darul Iman (RMR - Rahman) di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Terdahulu, projek di kawasan perumahan Padang Setengge bagi fasa tiga dan empat itu dilaksanakan secara berperingkat bermula 2011 melibatkan 234 unit rumah dan dijadualkan diserahkan kepada pembeli pada Ogos 2014.
Sebanyak 234 unit rumah di fasa 4 selepas itu ditinggalkan terbengkalai oleh sub-kontraktor dalam keadaan 75 hingga 80 peratus siap kerana kegagalan SePurnama sebagai kontraktor utama projek tersebut dalam melunaskan hutang kepada sub-kontraktor yang telah melaburkan sebahagian besar modal untuk menyiapkan projek
Sementara itu, mengulas tentang Projek perumahan Kampung Gong Cempedak fasa 3, Marang yang terbengkalai, ia akan disambung semula pembinaannya selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Menurut Dr Alias, bagi memastikan pembinaan fasa 3 melibatkan 212 unit yang terbengkalai tersebut berjalan segera, pihaknya telah membantu kontraktor penyelamat berunding untuk mendapatkan dana pembiayaan dari bank.
“Boleh selesai insya-Allah, cuma minta semua bersabarlah. Beri peluang kepada kita untuk berunding cara yang baik walaupun ini bukan projek kerajaan negeri tetapi projek swasta. Namun demi rakyat, kita usaha juga untuk membantu mereka,”ujarnya.
Untuk rekod, projek Perumahan Gong Cempedak yang terbengkalai lebih 10 tahun lalu merupakan pembinaan yang dilupuskan kepada pihak swasta pada tahun 2006 dan ia adalah 100 peratus di bawah pengurusan sendiri serta tidak melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri serta campur tangan kerajaan negeri.