Perairan Malaysia Perlu Dikawal Dengan Helikopter




Foto : Solahuddin Al Idrus

MARANG – Ahli Parlimen Marang, Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang mencadangkan agar lebih banyak helikopter digunakan untuk mengawal keselamatan perairan negara.

Menurut beliau, hasil lawatan ke luar negara seperti di Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain menyaksikan perairan negara berkenaan dikawal dengan ketat menggunakan helikopter supaya hasil laut tidak terjejas akibat pencerobohan nelayan asing.

“Yang penting bukan sahaja penguatkuasaan sahaja malah mesti melakukan kawalan yang ketat.

“Dengan alat-alat yang uzur sudah tentu kita tak mampu melaksanakan itu tetapi mesti dibuat menurut kepada kemampuan kita,” katanya.

Beliau yang juga Presiden PAS berkata demikian ketika merasmikan Program melabuh Unjam di Perairan Kuala Marang, Marang Waterfront, di sini, semalam, (26 Ogos).


Katanya, kerjasama semua pihak bukan sahaja penguatkuasa pemerintah termasuk nelayan sendiri untuk kepentingan mereka sendiri barulah berjaya meningkatkan rezeki dengan pertolongan Allah SWT.


“Pihak perikanan letak tukun, letak pelampung, dia kerat pelampung termasuk yang guna kabel cari kikir kerat.

“Ini langkah yang bodoh kerana membodohkan diri dia sendiri menyebabkan mereka yang memukat selepas itu tak kena pukat ikan pun lari dan  macam - macam boleh berlaku,” ujarnya.

Menurutnya, para nelayan menghadapi kekurangan hasil laut kerana kesilapan manusia itu sendiri dan mereka mengambil langkah untuk meningkatkan hasil laut dengan melabuhkan unjam diperairan laut.


“Ini adalah tindakan yang mudah dan segera serta kosnya tidak tinggi, adapun yang besar perlu pada masa dan kos yang besar,

“Hari ini kita menyaksikan satu cara yang moden dan ilmu yang sepatutnya kita gunakan ialah dengan cara yang segera dan saya difahamkan tindakan mutakhir agak sedikit berkesan dengan lebih baik lagi,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap agar nelayan sendiri yang menjaga unjam tersebut.



Tag: