'Bah' Gelombang Ketiga Landa Hulu Terengganu, Dua PPS Dibuka
MARANG, 31 Julai - PAS menyifatkan pergolakan politik di Sabah bukan perkara pelik kerana situasi pertukaran kerajaan yang silih berganti sememangnya cukup sinonim dengan negeri itu sejak dari dahulu.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, terpulang kepada rakyat Sabah dan pemimpinnya untuk mencari jalan terbaik dalam menyelesaikan kemelut perebutan kuasa itu.
Bagaimanapun, beliau berharap pergolakan tersebut dapat dikendalikan mengikut peruntukan Perlembagaan dan pendekatan politik yang sihat.
“Parti Warisan Sabah (Warisan) bukan parti majoriti semasa penubuhan kerajaan negeri (selepas pilihan raya umum), jadi kedudukannya tidak kukuh dan kalau (kerajaan negeri) jatuh, kita tidak pelik.
“Terpulang kepada rakyat Sabah dan pemimpin politiknya jika mahu melakukan pilihan raya, mereka lebih tahu. Sabah sudah ada pengalaman buat Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di Kampung Rusila, di sini hari ini.
Pergolakan politik Sabah kian memuncak apabila Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Krisis di negeri itu mula tercetus apabila bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa mendapat sokongan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan berhak menerajui kerajaan baharu.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, PAS akan terus mengukuhkan kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) di samping Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN).
Ketika ditanya adakah PAS terkejut dengan pendirian UMNO untuk tidak menyertai PN sebagai komponen dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau berkata, terpulang kepada parti itu untuk membuat keputusan.
“Terpulang kepada parti masing-masing, tentunya jawatankuasa pimpinan parti itu sudah buat perbincangan.
“Bagi PAS, kita dan UMNO sama-sama bersetuju untuk MN dan dalam masa sama kita akan teruskan dengan PN,” katanya
Sumber : Utusan Malaysia