Perkenal Kembali Tabung Perumahan Negeri



Kerajaan negeri akan memperkenalkan semula Tabung Perumahan Negeri dalam pembentangan Bajet 2018 akan datang bagi membantu rakyat Terengganu mendapatkan pembiayaan untuk membina rumah sendiri.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata tabung perumahan itu pernah dilaksanakan kira-kira empat tahun lalu dengan peruntukan sebanyak RM50 juta disalurkan untuk rakyat Terengganu yang layak.

Jelasnya lagi, sebelum ini rakyat Terengganu yang layak mendapat pembiayaian dari tabung tersebut mendapat pinjaman maksimum RM50,000 dan ansuran bayaran balik selama 30 tahun tanpa caj.

"Kita tak tahu apa punca bantuan perumahan itu terhenti,mungkin faktor kewangan namun kerajaan negeri akan meneruskan semula bantuan tabung untuk bajet tahun depan.

"Keutamaan akan diberi kepada golongan yang tidak mempunyai slip gaji, tidak mempunyai pendapatan bulanan tetap dan belum memiliki rumah sendiri... namun jumlah pinjaman terbaharu dan tempoh bayaran balik belum dimuktamadkan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Dungun hari ini.

Sebelum itu,dalam ucapan perasmiannya,Ahmad Razif berkata beberapa mekanisme telah dicadangkan kepada kerajaan pusat untuk pembayaran semula wang pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Kedua (LPT 2).



"Antara mekanisme yang dicadangkan termasuklah pembayaran RM740 juta dalam bentuk projek pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) di kesemua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

"Dengan duit ini,kita dapat  membina dengan segera kira-kira 10,000 unit RMM apabila dapat bayaran tersebut,"katanya.

Tag: