Perkenalkan Inisiatif Baru Buat Atlet Para SUKMA

KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri memperkenalkan inisiatif baru seperti memberi insentif segera kepada semua atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) yang mendapat pingat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata pihaknya berhasrat menyediakan cadangan memberikan insentif yang sama seperti atlet SUKMA bagi yang mendapat pingat dalam kejohanan Para SUKMA baru-baru ini.

“Sehubungan itu satu Kertas Cadangan insentif akan dibawa ke dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk memulakan inisiatif atlet SUKMA dan Para SUKMA,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Tepoh) berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Ladang, Zuraida Mohd Noor dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Hishamuddin turut berkata pihaknya akan memastikan penyediaan fasiliti sukan secara lebih bermanfaat kepada golongan OKU untuk mereka terlibat dalam latihan.

“Manakala sumbangan peralatan-peralatan melalui Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu,” katanya.


Tag: