lightning-solid
Berita :
Perkhidmatan Awam Bukan Sekadar Kerjaya, Amanat Akhir Dato’ Nara Setia
Perkhidmatan Awam Bukan Sekadar Kerjaya, Amanat Akhir Dato’ Nara Setia
Mastura Jamal Din
1 hari yang lepas
154

KUALA TERENGGANU, 6 Januari -  Perkhidmatan awam bukan sekadar kerjaya, sebaliknya satu amanah besar yang menuntut keikhlasan, integriti dan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab.

 Itu ditegaskan Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK), Dato’ Nara Setia ketika berucap pada Majlis Persaraan beliau yang berlangsung di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel, di sini, hari ini.

 Menurut beliau, sepanjang tempoh perkhidmatan lebih 34 tahun khususnya ketika memegang jawatan SUK, setiap kejayaan dan pencapaian yang diraih bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya hasil kerjasama erat serta sokongan padu seluruh warga perkhidmatan awam negeri.

 “Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta kepimpinan negeri atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan.

 “Terima kasih juga kepada rakan-rakan Ketua Jabatan, pegawai kanan dan seluruh warga kerja yang sentiasa menunjukkan profesionalisme dan semangat kebersamaan dalam melaksanakan amanah kepada negeri dan rakyat,” katanya.

IMG-20260106-WA0024.jpg 41.96 KB
Dato’ Nara Setia akan bersara wajib pada 9 Januari 2026 selepas berkhidmat sebagai SUK Terengganu sejak 6 November 2024, manakala perkhidmatan beliau sebagai Pegawai Tadbir Kerajaan bermula pada 1991.

Pada majlis sama, turut berlangsung acara penyerahan Nota Serah Tugas Setiausaha Kerajaan Terengganu kepada bakal SUK baharu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.

IMG-20260106-WA0023.jpg 84.39 KB
Mohd Azmi yang kini memegang jawatan Pegawai Kewangan Negeri (PKN) akan menjalankan tugas sebagai SUK Terengganu berkuat kuasa 10 Januari 2026.

 Sementara itu, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, dilantik sebagai PKN baharu berkuat kuasa tarikh sama.


Tag :

Artikel Berkaitan