Permohonan baharu Bantuan Perayaan Aidilfitri 2017 secara dalam talian dibuka kepada mereka yang berkelayakan mulai semalam (1 April) sehingga 21 April depan.
Orang ramai boleh membuat permohonan itu dengan melayari laman sesawang http://danattb.terengganu.gov.my .
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin, berkata syarat kelayakan masih sama iaitu pemohon yang berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan serta mestilah rakyat Terengganu dan perlu mendaftar sebagai pengundi.
Katanya, mereka yang berstatus bujang berusia melebihi 40 tahun dan berpendapatan bawah RM1,500 juga layak memohon.
Katanya, mereka yang berstatus bujang berusia melebihi 40 tahun dan berpendapatan bawah RM1,500 juga layak memohon.
“Bagi pemohon yang bukan rakyat di negeri ini tetapi bermastautin lebih 10 tahun di Terengganu perlu mendapatkan perakuan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K).
“Kontraktor berdaftar dan peniaga berlesen adalah tidak layak memohon, “ katanya kepada Teganukita.
Menurutnya, borang permohonan hendaklah dicetak dan diserahkan kepada Pengerusi J3K bersama salinan dokumen yang dinyatakan.
“Kegagalan mengikuti syarat kelayakan boleh menyebabkan permohonan ditolak.
“Pengagihan dan penebusan baucer dijangkakan bermula pada 27 Mei ini di Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank manakala tempoh sah laku baucer akan berakhir pada 27 September,”katanya.
Berdasarkan rekod, seramai 217,001 pemohon berjaya melepasi syarat-syarat yang ditetapkan dengan bayaran membabitkan RM80.3 juta pada tahun lalu.