Persembahan Kebudayaan Hujung Minggu Sabtu Di Batu Burok
Kerajaan negeri bakal memperkenalkan Program Persembahan Kebudayaan Hujung Minggu, bermula Sabtu ini (17 Februari) sebagai usaha memartabatkan tradisi dan kebudayaan Terengganu kepada orang ramai khusus pelancong luar.
Program yang akan bermula jam 9 malam sehingga 12 tengah malam itu memilih lokasi di Pentas Awam Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu untuk pengiat seni terkenal membuat persembahan.
Antara persembahan yang akan diuruskan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu itu termasuk wayang kulit, rodat, dikir barat, gamelan serta tarian tradisional dan lagu rakyat.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, berkata apa yang diusahakan itu bertujuan mahu menyemarakkan lagi program Visit Beautiful Terengganu.
Katanya, pada masa sama, mahu menganjak orang ramai terutama generasi baru bersama-sama menghayati, menyertai dan mengenali budaya Terengganu secara dekat.
“Boleh juga memberi kemudahan kepada pengiat pelancongan terutama pengusaha hotel dan pemandu pelancong merancang jadual lawatan dengan membawa pelancong menonton persembahan,”katanya.