Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui Persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus hari ini boleh dianggap sebagai majlis luar biasa dan lain daripada yang lain.
Katanya sambutan yang diberikan ini boleh diibaratka sebagai satu "pakej" lengkap dan sangat istimewa baginya dan jarang dibuat pada persidangan perwakilan UMNO bahagian di tempat lain.
"Saya berharap majlis sama di Bahagian Kuala Terengganu petang ini mendapat sambutan yang sama atau lebih baik daripada Bahagian Kuala Nerus.
“Mengapa luar biasa, antaranya semua memakai pakaian sama warna iaitu biru dengan pimpinan peringkat atasan, selain perasmiannya di dalam stadium, biasa hanya di dalam dewan sekolah majlis bandaran,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika mengakhiri ucapan pada majlis perasmian persidangan perwakilan bahagian itu yang dihadiri lebih ahli UMNO termasuk daripada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Kuala Nerus.
Ahmad Zahid berkata, sambutan itu menggambarkan semangat gelombang biru masih kuat di Terengganu walau apa pun cabaran yang dihadapi UMNO hari ini.
“Oleh itu, suka saya mengingatkan ahli UMNO agar kekal berjuang dalam UMNO walau apa pun cabaran dan dugaan yang datang melanda.