Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
Pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu Mulai 16 Jun Ini
Dekorasi pelita raya yang menghiasi kawasan R&R Perasing, Kemaman sempena pertandingan pelita raya Beautiful Terengganu Bermula 16 Jun ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail |
Pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM42,000 akan diadakan di empat daerah bermula 16 hingga 21 Jun ini.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, program anjuran kerajaan negeri melalui JPNT itu akan bermula di Kemaman dan Besut pada 16 hingga 18 Jun manakala 19 dan 21 Jun di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Katanya, hadiah yang ditawarkan kepada pemenang sebanyak RM10,500 bagi satu daerah dimana pemenang tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000, kedua (RM2,000) dan ketiga (RM1,000).
“Manakala bagi tempat keempat hingga sepuluh akan mendapat sebanyak RM500 dan tempat ke sebelas hingga lima belas pula bakal menerima RM300 setiap penyertaan yang terpilih,” katanya pada sidang media di Perasing, Kemaman, semalam.
Tun Ahmad Faisal berkata, sejak zaman berzaman pelita adalah amat sinonim dengan masyarakat Melayu setiap kali menjelang bulan Ramadan dan Syawal.
"Sehingga kini, masih terdapat kampung-kampung yang masih mengekalkan tradisi kemeriahan di bulan Ramadan dengan memasang pelita-pelita raya dan sentiasa mendapat sambutan bukan sahaja daripada masyarakat setempat malah pelawat luar yang berkunjung.
"Pelita dipasang di sekeliling rumah dan di sepanjang jalan di kampung-kampung bagi menerangi kanak-kanak bermain di halaman rumah atau kampung," katanya.
Menurut beliau, pelbagai jenis pelita dan dekorasi menunjuk betapa penduduk begitu kreatif dalam mencipta sesuatu yang sesetengahnya menggunakan bahan terpakai dan bahan kitar semula yang sekali gus mengasah bakat seni masing-masing.
Sementara itu katanya, pertandingan pelita raya ini menjadi aktiviti tahunan Muzium Negeri Terengganu bersama J3K Kampung Tepoh dan bermula pada 2009 hingga 2012 dengan kolaborasi kerajaan negeri melalui Tourism Terengganu.
“Antara kampung-kampung yang terlibat adalah Kampung (kg) Baru Tepoh, Kg Raja, Kg Padang Hangus, Kg Tokeng dan Kg Pagar Ubi di Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Tepoh.
"Program yang dijalankan peringkat kampung ini dikembangkan menjadi satu penganjuran yang lebih besar dengan penglibatan kampung-kampung di Mukim Tepoh," ujarnya.