Perumahan Bercampur Ganti Projek Akuapolitan RM180 Juta

KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Kerajaan negeri membuat keputusan tidak akan meneruskan projek Akuapolitan Kuala Nerus sebaliknya menggantikannya dengan projek lain demi manfaat penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pembatalan projek yang bernilai RM180 juta pada 2019 itu, bukan keputusan kerajaan Terengganu sebaliknya ia adalah keputusan bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerajaan Pusat.

“Kerajaan negeri mencadangkan dan telah mendapat kelulusan untuk sebahagian daripada tanah itu dibangunkan dengan projek perumahan bercampur dan juga rumah mampu milik secara penswastaan untuk kita tempatkan kira-kira 67 keluarga yang terlibat dengan pengambilan tanah ketika pembinaan jalan raya di Kuala Terengganu City Centre (KTCC).

"Selain itu, kita cadangkan kepada ECERDC untuk bina jeti pendaratan nelayan kerana jeti sedia ada di Pulau Kambing sudah semakin sesak.

"Jeti baharu itu nanti lengkap dengan bilik sejuk beku dan kilang air batu untuk kemudahan nelayan di sekitar Seberang Takir," katanya  pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Difahamkan, projek yang dirasmikan pada 2016 itu, bertujuan mewujudkan sebuah ekosistem perikanan yang bersepadu dan mampan termasuk pembinaan terminal perikanan, pusat pemprosesan ikan, pasar ikan segar dan restoran yang bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat tempatan, malah akan menarik minat pelaburan dalam sektor perikanan, perniagaan, industri hiliran dan pelancongan.