Perutusan Hari Kemerdekaan: ADUN Rantau Abang

MARILAH SAYANGI MALAYSIAKU DENGAN MELETAKKAN ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP

Kita menyambut Hari Kemerdekaan ke 61 tahun setelah kemerdekaan pertama pada 31 Ogos 1957. Kemerdekaan ini setelah British pulang ke negara mereka. Tetapi kita mengharapkan kita merdeka dari sudut pelbagai aspek bukan saja dari segi pemikiran, malah kita mengharapkan kita dapat berada dalam keadaan merdeka terutama sekali bagi orang-orang Melayu, merdeka dari segi pemikiran, falsafah dan agama Islam itu sendiri.

Kita mengharapkan dengan kemenangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Negeri Terengganu ini, suatu perubahan dari segi pemerintahan akan menjelma kerana Negeri Terengganu di bawah kepimpinan PAS, meletakkan Islam sebagai dasar pemerintahan. Kita mengharapkan dengan agama kita meletakkan perlembagaan Al-Quran, sunnah, ijmak dan qias ini merupakan cara hidup yang akan kita teruskan untuk memerintah Negeri Terengganu ini.

Tema bagi kemerdekaan tahun ini ialah 'Sayangi Malaysiaku'. Kita mengharapkan kita betul-betul sayang  Malaysia supaya Malaysia ini tidak lagi dijajah dan kita mengharapkan kita tidak lagi terbelenggu dengan peninggalan-peninggalan ideologi daripada British ini.

Kemenangan PAS bagi Negeri Terengganu ini akan menampakkan suatu cara hidup dan dalam  semua  bidang, meletakkan Islam sebagai perjuangan kita. Kita juga mengharapkan dengan pemerintahan mengikut Islam, sebagai penduduk  Negeri Terengganu ini kita akan mendapat redha Allah. Moga-moga apa saja yang kita laksanakan samada dari segi sosial, ekonomi, pentadbiran dan juga perkara-perkara yang lain, kita harap kita sentiasa dibimbing oleh Allah.

Jadi marilah kita sama-sama menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 2018 ini dan
'Sayangi Malaysiaku' dengan meletakkan Islam sebagai cara hidup.

Tag: