PERUTUSAN KHAS MENTERI BESAR SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI 2017 (1438H)
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Aidilfitri
Salam Negaraku Malaysia
Salam Transformasi Terengganu Baharu
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillah hil hamd
1. Alhamdulillah, segala puji kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya saya diberikan kesempatan untuk melakarkan sebuah perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri untuk rakyat Terengganu di mana jua mereka berada. Setelah genap sebulan berpuasa, kini tiba masanya seluruh umat Islam akan menyambut Hari Lebaran dengan penuh gembira seharum kasturi.
2. Hari Raya Aidilfitri yang juga dikenali dengan nama Hari Raya Puasa disyariatkan Allah Taala untuk umat Islam merayakannya dengan rasa kesyukuran dan amal bakti yang diredhaiNya. Kita hendaklah lebih bersyukur kerana dapat meneruskan kehidupan dalam suasana aman damai. Bergerak bebas melakukan aktiviti seharian, memiliki bekalan makanan dan minuman yang mencukupi. Sementara teman seagama kita di kebanyakan negara masih bertungkus lumus mencari tempat berlindung yang selamat. Lapar dan dahaga seolah-olah suatu kebiasaan bagi mereka. Syukur Alhamdulillah kita lebih bernasib baik menerima anugerah Illahi di bumi bertuah ini.
3. Apabila terdengarnya takbir raya di senja hari terakhir bulan ramadan, maka bermulalah 1 Syawal yang merupakan hari kemenangan berpuasa selama sebulan. Pesan Murabbi, “Hari raya Aidilfitri dan bulan-bulan seterusnya ini merupakan satu perjalanan dan cabaran yang baharu untuk seorang hamba Allah yang bertaqwa kepadaNya, kerana bulan ini akan menentukan kelangsungan amalan ketaqwaan kita disepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak.
4. Sekian lama hidup berjauhan diperantauan tiada kata-kata manis yang boleh ubati kerinduan untuk bersama keluarga. Dikala tawarikh kehidupan kita diselubungi dengan kesibukan kerjaya, rasa rindukan sanak saudara tetap terpendam jauh di lubuk jiwa. Maka apabila tibanya hari raya, inilah peluang berharga untuk melepas kerinduan terhadap ayah dan bonda, juga jiran tetangga. Sambil menikmati juadah hidangan yang ada, jangan lupa ambillah peluang untuk bermaaf-maafan serta bersenda loka bersama keluarga. Indahnya nikmat berhari raya bila terkenang kisah suka duka. Setahun sekali berkumpul pastinya dapat memperkukuhkan lagi tali persaudaraan dan silaturrahim dengan penuh kasih sayang.
5. Di hari yang mulia ini, kita harap semuanya dapat berhari raya dengan penuh gembira, kepada mereka yang berada, janganlah lupa golongan yang tidak berada. Bantulah mereka, ringankan beban derita yang ada. Hulurkanlah bantuan dan dampingilah mereka, ingat pesanan Anas r.a. bahawa: Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri,”(al-Bukhari).
6. Istiqamah bersedekah dan bersyukur amalan di bulan Ramadan al-mubarak perlu diteruskan. Meringankan beban kepada yang memerlukan adalah sebahagian daripada pengorbanan yang in sya Allah akan mendapat rahmat daripada Allah Yang Maha Bijaksana. Saya yakin amalan konsep 4K (Keinginan, Kesungguhan, Kebersamaan, Keikhlasan) akan melahirkan keserasian dan keharmonian hidup berjiran.
7. Justeru, saya mengambil kesempatan menasihati semua pengguna jalan raya supaya bersabar dan berhati-hati sepanjang pemanduan. Amalkan sifat bersopan dan berbudi bahasa semasa memandu. Kawal nafsu amarah yang membawa padah. Lambat sampai ke destinasi tidak mengapa, asalkan selamat bertemu orang tersayang. Biarlah pelukan rindu pada hari raya tahun ini diiringi linangan air mata gembira bukannya berduka.
8. Sesiapa sahaja apabila terdengar takbir raya di pagi raya, hati menjadi sayu dan sebak di dada. Terkenang orang tersayang yang sudah tiada. Ziarahilah pusara mereka bersama keluarga. Jangan lupa melakukan kunjungan mesra ke rumah jiran tetangga. Hidup berjiran besar hikmahnya.
9. Sempena Hari Raya Aidilfitri semarakkanlah semangat perpaduan yang telah terjalin sekian lama. Teruskan amalan sebegini dengan minda terbuka kerana ia menepati maksud dan hasrat kerajaan melalui prinsip ke-7 (Seruan Perpaduan) dalam gagasan Transformasi Terengganu Baharu (TTB). Inilah keistimewaan dan keunikan hidup bermasyarakat di negara kita. Warisan ini bukan sekadar adat, malah sebahagian daripada tuntutan agama. Tunjukan kepada mereka betapa indahnya agama Islam.
10. Ketepikan isu yang remeh temeh mainan orang-orang yang berfikiran sempit. Jangan biarkan sokong membawa rebah. Sempena syawal yang mulia ini molek rasanya kita bina azam baharu yang boleh merancakkan lagi tawaran perkhidmatan untuk rakyat. Pamerkan contoh yang baik untuk ditauladani oleh generasi “Gen T” pelapis perencana kegemilangan masa depan Negara.
11. Zaman sentiasa berubah, maka kita juga mesti berubah. Sesungguhnya tuntutan masa memerlukan kita berada dalam “mood” transformasi (perubahan) yang sesuai dengan zaman. Semarakan kasih kita kepada negara tercinta ini. Hadapi segala cabaran mahupun ujian dengan sabar dan cermat. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar. Negaraku Malaysia di sini tanah tumpah darahku.
12. Pada kesempatan Perutusan Khas Hari Raya Aidilfitri ini, saya, isteri dan keluarga serta seluruh barisan kepemimpinan negeri mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin. Saat gembira bersama keluarga adalah sesuatu yang indah, dan apabila tiba masanya untuk kembali semula ke tempat bertugas, kami doakan agar semuanya selamat dalam perjalanan. Patuhi peraturan jalanraya dan arahan pihak berkuasa. Semoga Allah permudahkan perjalanan pulang anak-anak perantau ke destinasi masing-masing.
Kepada Allah saya berserah.
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillah hil hamd
Assalamualaikum warahmatullahi warabarakatuh.