KUALA NERUS, 1 Ogos- Kecemerlangan benteng pertahanan lawan diketuai penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz mewarnai aksi seri tanpa jaringan antara Terengganu Football Club (Terengganu FC) dan PJ City FC dalam aksi Liga Super 2022, sebentar tadi.
Berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dalam cuaca mendung, Skuad Penyu turun tanpa kehadiran Habib Haroon dan Kpah Sherman, namun kembali diperkuatkan tonggak pertahanan, Pape Diakite.
Anak-anak buah Nafuzi Zain memulakan babak pertama dengan corak permainan pantas bagi memburu gol pembukaan.
Bagaimanapun, P. Maniam lebih bersedia bertandang ke Terengganu apabila hadir dengan taktikal bertahan.
Pada minit ke-13, satu hantaran lintang rendah dilakukan Nik Muhammad Sharif Haseefy menemui Tchetche Kipre memberi harapan tuan rumah mencetak jaringan pendahuluan tetapi sepakan pemain itu tinggi melepasi palang gol lawan yang terbuka.
Sepakan percuma Petrus Shitembi pada minit ke-29 berjaya menggegarkan gol pelawat, namun pengadil perlawanan membatalkan jaringan tersebut setelah Kipre didapati mengasari Kalamullah.
Terengganu FC sekali lagi berpeluang meledak gol pada minit ke-33 dan kali ini giliran Mohamad Faisal Halim pula mensia-siakan peluang di depan gawang dengan kuisan ke 'langit'.
Babak pertama berakhir tanpa sebarang gol walaupun tuan rumah berjaya melakukan beberapa percubaan merbahaya ke kubu lawan.
Bersambung babak kedua, Kalamullah terus cemerlang menyelamatkan pintu gol PJ City FC sekalipun berdepan serangan bertubi-tubi tuan rumah.
Dalam keghairahan menyerang, pintu gol Terengganu FC hampir bolos pada minit ke-62 setelah Darren Lok berjaya memintas bola lorongan ke belakang Pape Diakite.
Penyerang kebangsaan itu berjaya menewaskan Rahadiazli namun rembatannya tersasar ke sisi gawang.
Barisan serangan Sang Penyu terus buntu berdepan Sang Phoenix yang 'berkubu' di kawasan sendiri.
Berbaki enam minit masa tambahan, pemain gantian, Muhammad Syahmi Zamri hampir mengejutkan tuan rumah dengan rembatan kencang yang menggegarkan tiang gol Terengganu FC.
Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kekebalan benteng pertahanan PJ City FC dan kecemerlangan Kalamullah membolehkan pelawat membawa pulang satu mata dari Gong Badak.