lightning-solid
Berita :
Pihak Berkuasa Pantau Kawasan Berisiko
Pihak Berkuasa Pantau Kawasan Berisiko
Rohayati Ripin
15 Nov 25
347

KUALA TERENGGANU, 15 November – Kawasan Waterfront Pulau Kambing kini berada di bawah pemantauan rapi selepas Pejabat Parlimen Kuala Terengganu menerima satu aduan awam mengenai keadaan pagar usang yang didakwa berisiko membahayakan pengunjung.

Aduan yang tular di media sosial pada 11 November itu segera mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Beliau kemudian mengarahkan pegawai Pejabat Parlimen Kuala Terengganu meneliti keadaan tersebut dan turut menghubungi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk tindakan lanjut.

Susulan itu katanya, pihak berkenaan menjalankan pemeriksaan di lokasi dan mengesahkan pagar tersebut berada dalam keadaan tidak selamat.

"Sebagai langkah keselamatan awal, pihak MBKT telah memasang tali amaran bagi menghalang pengunjung daripada menghampiri kawasan berisiko sementara menunggu kerja pembaikan dilakukan," jelasnya dalam laman sosialnya kelmarin. 

Beliau merakamkan penghargaan kepada MBKT atas tindakan pantas mereka serta mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang peka terhadap keselamatan komuniti. 

Justeru itu, beliau menegaskan bahawa kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan kawasan awam sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terurus.

“Isu keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Maklum balas segera daripada masyarakat membolehkan tindakan diambil dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan