PKM Permaisuri Sumbang Katil Kepada Pesakit Strok

SETIU, 18 Februari - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Permaisuri menyumbangkan sebuah katil hospital bagi kegunaan seorang pesakit strok di Kampung Putera Jaya, semalam.

Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, Foo Chek Eng, 62, adalah penerima pertama katil tersebut pada tahun ini melalui sistem wakaf.

"Bantuan ini bagi memudahkan kehidupan mereka sekeluarga," katanya ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.

Chek Eng yang mengalami masalah kesihatan akibat serangan strok sejak lima tahun lalu tidak mampu melakukan tugasan harian seperti biasa dan tanggungjawab itu dipikul suaminya, Wang Kiat Wang, 66.

Menurut suaminya yang bekerja kampung dan seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), anak lelakinya juga turut membantu menguruskan kehidupan mereka.

"Dia banyak membantu kami, menguruskan apa yang patut terutamanya membabitkan hal-hal dalam rumah ini.

"Terima kasih banyak kepada PKM dengan sumbangan yang bermakna ini," jelasnya.