PKP : 150 Warga Tionghua Terima Sumbangan

KEMAMAN, 5 Januari - Seramai 150 orang peniaga warga Tionghua dan pekerjanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai menerima sumbangan wang tunai, beras dan topeng muka, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, antara yang menerima sumbangan itu adalah warga Tionghua yang berniaga di kedai jam, pakaian, kasut, basikal, peralatan memancing dan sebagainya.

"Kami memahami mereka juga turut terjejas pendapatan ketika ini. Oleh yang demikian, hari ini kami menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka. 

"Moga-moga dengan sumbangan ingatan tulus ikhlas daripada kami ini, sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang sedang mereka hadapi," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Program yang bermula sejak jam 10.00 pagi itu diadakan secara pandu lalu bagi menyampaikan sumbangan kepada penerima.

Sumbangan disampaikan oleh Hanafiah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.