Ahmad Razif bermesra dengan petugas dari Pejabat DUN sempena Majlis Makan Malam Santai Bersama Media, di Hotel Primula. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail. |
Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan mengadakan lawatan kerja selama dua hari bermula 15 hingga 16 April yang melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN), Kuala Nerus, Besut dan Dungun.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pemimpin utama negara itu dijangka tiba pada petang 15 April di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan terus ke Bukit Nanas, Tepoh bagi Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Pelbagai acara disediakan kepada orang ramai di Bukit Nanas bermula dari jam 4 petang lagi termasuk persembahan artis, dikir barat dan cabutan bertuah.
"Sebanyak 500 unit rumah yang akan dibina dalam tempoh dua tahun. Dengan pembinaan kediaman setinggi lima tingkat itu akan membantu menyelesaikan masalah perumahan yang diperlukan 500 keluarga di Kuala Nerus," katanya di sidang media selepas Majlis Makan Malam Santai Bersama Media di Hotel Primula , Kuala Terengganu, malam tadi.
Ahmad Razif berkata, pada keesokannya, 16 April, kira-kira jam 8 pagi, perdana menteri dijadualkan akan menghadiri Majlis Pecah Tanah Pemuliharaan Muara Sungai Besut yang dikenali sebagai gerbang pelancongan Terengganu di Kuala Besut.
Katanya, projek di Kuala Besut itu melibatkan kos lebih RM250 juta bagi menyelesaikan masalah air laut yang cetek yang mengganggu nelayan dan bot pelancong yang keluar ke laut.
"Projek itu akan dilaksanakan tahun ini dan ia sekali gus bagi menunaikan janji ketika PRK Kuala Besut dahulu dan menunjukkan BN menepati janji kepada rakyat," katanya.
Beliau juga dijadualkan akan melawat dua buah rumah dan menyumbang keperluan rumah dan perabot serta pembinaan rumah baharu bernilai RM45,000 bagi setiap keluarga yang memerlukan.
Katanya, pada jam 3 petang pula perdana menteri akan melancarkan program Jom Bantu Rakyat peringkat negeri di Tapak Perumahan Idaman Rakyat (SPMB) di Santong, Paka. Sebelum itu, turut diadakan jamuan rakyat.