• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

PMINT, ECORIDE Rintis Industri Kenderaan Elektrik

KUALA TERENGGANU, 27 Julai- Kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama ECORIDE Sdn Bhd bagi cadangan Program Migrasi Mobiliti Hijau Kenderaan Elektrik (EV).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Dato' Wan Adnan Wan Derahman berkata, MoU tersebut bertujuan merintis jalan bagi kedua-dua pihak menerokai peluang usahasama dalam industri EV di negeri ini.

"Melalui MoU yang dijalin ini, kedua-dua pihak akan bersama-sama merangka dan membentangkan pelan migrasi EV bagi dilaksanakan di Negeri Terengganu dengan menjadi perintis kepada pengguna terutamanya melibatkan agensi negeri, syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun negeri.

"Selain mewujudkan dan merancang rangkaian infrastruktur stesen EV di Terengganu," ujarnya dalam satu kenyataan. 

Tambah beliau, kerjasama tersebut juga bertujuan membina pelan komprehensif dan terperinci untuk migrasi EV khusus untuk kegunaan komersial di negeri ini sekali gus mengurangkan kos pengangkutan.

"Ia juga bagi menyelaras dan mempromosikan pembangunan industri berkaitan EV di Terengganu," ujarnya.

Katanya,  PMINT melalui subsidiari Cas Ligas Sdn Bhd yang terlibat secara langsung dalam sektor pengangkutan di Negeri Terengganu pasti akan memperolehi manfaat dalam jangka masa pendek dan jangka panjang dalam perkara ini sekaligus membantu menjayakan hasrat kerajaan Negeri dalam merintis keberhasilan dalam EV.