Hukuman Sebat Syariah : Negeri Lain Perlu Contohi Terengganu
Politeknik Dungun Ceriakan Anak Yatim Dan Pelajar Kurang Mampu
DUNGUN, 19 Mac- Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin(PSMZA), Dungun teruskan tradisi menceriakan anak yatim dan pelajarnya yang kurang berkemampuan untuk berhari raya.
Pengarahnya, Zamra Derahman berkata program meraikan golongan berkenaan sudah menjadi antara program utama di PSMZA apabila menjelang bulan Ramadan.
"Ini dapat mengurangkan beban keluarga terutama ibu-ibu tunggal yang mempunyai kekangan dalam membesarkan anak-anak mereka bersendirian," ujarnya.
Zamra berkata demikian dalam satu siaran media yang keluarkan oleh Unit Komunikasi dan Korporat PSMZA, di sini.
Seramai 11 orang anak yatim dari Asrama Pra-Tahfiz Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (PERKAYA) Daerah Dungun dan 10 orang pelajar kategori kurang berkemampuan dari politeknik tersebut telah diraikan dalam Program Selaut Kasih, Seindah Harapan anjuran bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) PSMZA yang diadakan di Gedung Tekstil, Jakel Kuantan, semalam.
Tambah beliau yang juga Pengerusi PUSPANITA PSMZA, PERKAYA dipilih sebagai antara target kelompok untuk diraikan kerana pihaknya mahu mereka juga dapat merasa pengalaman membeli dan memilih baju raya sendiri seperti anak-anak yang lain.
“Mereka yang kita raikan pada hari ini kelihatan sangat ceria dan gembira apabila diberi peluang untuk memilih sendiri pakaian hari raya mereka di Jakel, ” katanya teruja dengan keceriaan mereka.
Hadir sama, pemilik gedung Jakel Kuantan, Suhaimi Abdul Aziz yang berbesar hati menyampaikan sumbangan duit raya buat para pelajar.
Katanya, disamping itu, 7 Eleven Chengal Lempong, Kuantan juga turut tidak ketinggalan berkongsi rezeki dengan menyumbang pek makanan ringan untuk diagihkan kepada mereka.
"Program ini sebenarnya membuka dan memberi peluang buat semua untuk menyumbang,
"Berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang berkemampuan, semoga sumbangan yang kita perolehi dapat memberi kegembiraan buat mereka dalam menyambut hari raya yang bakal tiba," jelasnya lagi. .