Populasi Penyu Agar Terengganu Paling Tinggi Semenanjung Malaysia
KUALA TERENGGANU, 27 November – Populasi penyu agar yang terdapat di pantai-pantai seluruh Terengganu mempunyai bilangan tertinggi di semenanjung Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kerajaan negeri akan memberi penumpuan yang lebih kepada penjagaan dan perlindungan sumber spesies penyu itu.
Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) telah melaksanaan pelbagai program bagi tujuan berkenaan.
“Antaranya, program pendidikan penyu yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah, program gotong-royong membersihkan pantai pendaratan penyu (sebelum musim pendaratan penyu) dan pelbagai lagi program yang dilaksanakan.
“Ini bagi memastikan semua spesies penyu khususnya penyu agar sentiasa terpelihara daripada ancaman pupus,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu (Belanjawan 2024) di Wisma Darul Iman hari ini.
Berkenaan soalan yang ditanya berkaitan populasi penyu belimbing yang kian pupus di negeri ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata antara faktor kejadian tersebut berlaku kerana aktiviti perikanan di perairan negeri semasa musim bertelur pada sekitar tahun 80-an.
“Kegiatan tersebut menyebabkan banyak ibu penyu belimbing itu mati," katanya.
Selain itu, jantina anak penyu juga dipengaruhi oleh suhu panas dan sejuk di pasir tempat penyu bertelur namun maklumat tersebut saintis baru temui lewat tahun 90-an.
Tambahnya lagi katanya, kumpulan penyu yang bersifat koloni sebagai contoh koloni asal di Rantau Abang yang tidak bercampur dengan koloni asalnya di luar negara.
"Sekiranya pupus, maka tamat lah koloninya dan di Asia Tenggara koloni yang masih ada adalah Papua Barat dan Utara Sulawesi Indonesia.
“Hingga sekarang, tiada seorang pun pakar yang membuat cadangan bagi pemuliharaan semula sumber penyu belimbing di Rantau Abang.
"Barangkali, tiada contoh projek seumpama itu di dunia dan tiada pakar yang berilmu untuk tujuan berkenaan,” ujarnya.