Program Hari Arafah Disambut Meriah Seluruh Terengganu

KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Kerajaan Negeri melaksanakan sambutan Hari Arafah di seluruh negeri Terengganu melalui dua peringkat iaitu Negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sambutan di peringkat negeri pada malam semalam adalah bagi menyeru kaum muslimin dan muslimat supaya berpuasa pada 9 Zulhijjah iaitu merupakan hari wukuf di Arafah.

Katanya, sambutan Hari Arafah di peringkat DUN pula akan dilaksanakan secara serentak di seluruh kawasan pada esok hari.

“Ia bertujuan bagi meraikan para jemaah muslimin dan muslimat yang turun ke masjid untuk berbuka puasa beramai-ramai sebagai tanda kesyukuran kerana berjaya melaksanakan ibadah yang dituntut tersebut.

“Semoga setiap perkata yang kita lakukan mampu memberatkan pahala amal kita di hari akhirat kelak, di samping mendapat keredhaan daripada Allah Subhanahu wata’ala," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Program Sambutan Penghayatan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 1444H/2023 bertempat di Masjid Al-Muhtadin, Kampung Peradong, Manir di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Tengku Bijaya Raja.

Tambah Ahmad Samsuri, bulan Zulhijjah merupakan salah satu bulan yang penuh dengan keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri.

“Keistimewaan tersebut ada pada 10 hari terawal Zulhijjah yang perlu kita ketahui keistimewaannya agar ianya menjadi motivasi dalam meningkatkan lagi amal ibadah kita,” ujarnya.

Mengulas lanjut, program yang bermula pada 7.30 itu diawali dengan Ceramah Khas Hari Arafah yang disampaikan oleh Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron.

Program tersebut berjalan lancar dengan kehadiran jemaah sekitar 300 orang pada malam itu.

 


Tag: