Program Hari Tanpa Kenderaan Akan Diperluas Ke Setiap Daerah
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, program sama yang diadakan pada hari Sabtu sekurang- sekurangnya sebulan sekali itu telah dimulakan di Kuala Terengganu.
Katanya, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu memilih lokasi bermula dari kawasan Kampung Tanjung melalui Taman Syahbandar dan berakhir di Pulau Warisan yang membabitkan jarak sejauh tiga kilometer (km).
"Saya berharap Pihak Berkuasa Tempatan di daerah lain turut mengadakan program seumpama ini dengan menyelitkan pelbagai aktiviti lain dalam tempoh terdekat.
" Apa yang dilaksana itu bukan saja menyihatkan badan malah membantu mengurangkan risiko penyakit kronik seperti sakit jantung, obesiti dan diabetis,"katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Kuala Nerus Car Free Hour, di perkarangan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus hari ini.
Lebih 1, 000 peserta terdiri pelajar sekolah, penuntut universiti, kakitangan awam dan swasta serta penduduk setempat menyertai program itu.
Sebelum itu, Ahmad Razif bersama isteri To' Puan Seri Halina Zakaria dan tetamu kehormat lain menyertai senamrobik.