BESUT, 30 November — Kira-kira 700 orang penduduk dari seluruh pelusuk Besut, merangkumi kanak-kanak, remaja, dewasa, hingga ke warga emas, membanjiri kawasan Lay Out Gerai semalam bagi menjayakan program santai 'Jale-Jale Pusing Dale Baruh' (berjalan-jalan mengelilingi sawah padi), yang menggamit kenangan nostalgia penduduk setempat.
Program kesihatan dan riadah ini merupakan anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Jerteh dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Jerteh, dengan kerjasama pelbagai agensi.
ADUN Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor, yang turut serta dalam program berjalan kaki itu, menyatakan bahawa penyertaan yang menggalakkan membuktikan semangat kemasyarakatan yang utuh di kalangan penduduk.
"Alhamdulillah, sambutan hari ini sungguh luar biasa, melibatkan penyertaan bukan sahaja dari Jerteh, tetapi dari seluruh pelusuk Besut.
"Program 'Jale-Jale Pusing Dale Baruh' ini merupakan tradisi yang kami hidupkan kembali. Ia bukan sekadar acara riadah biasa, tetapi satu cara untuk kita menyihatkan badan, selari dengan tuntutan sunnah Nabi Muhammad SAW yang menggalakkan berjalan kaki.
Lebih penting lagi, aktiviti santai seperti ini adalah platform terbaik untuk kita merapatkan lagi tali ukhuwah, memecahkan tembok perbezaan, dan mengukuhkan perpaduan sesama kita, merentasi batas usia dan latar belakang. Kami berharap semangat ini akan diteruskan, kerana komuniti yang sihat adalah komuniti yang kuat," kata beliau ketika berucap dalam program ini.
Katanya,Program berjalan kaki santai ini diatur secara unik, di mana peserta perlu melalui beberapa 'check point' di sepanjang laluan sawah padi yang indah. Di setiap perhentian, para peserta disajikan dengan makanan dan minuman tradisional yang membangkitkan nostalgia seperti ubi kayu, jagung rebus, dan buah-buahan tempatan.
Selain itu, bagi menarik minat dan menghargai kehadiran peserta, pihak penganjur turut menyediakan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik. Antara hadiah yang ditawarkan termasuk barangan elektrik, barang kemas, dan hadiah utama (grand prize) berupa sebuah motosikal Modenas yang berjaya mencuri tumpuan para hadirin.
Pihak penganjur berharap penganjuran briskwalk santai seumpama ini dapat menyedarkan masyarakat betapa pentingnya aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian, dan ia boleh dilakukan dalam suasana yang santai dan mesra keluarga.
Ribuan terima kasih dirakamkan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini, termasuklah JPAM, Jabatan Amal, JPKK Lay Out Gerai, serta semua sukarelawan yang membantu secara langsung mahupun tidak langsung.

