KUALA NERUS, 30 Januari – Masjid Seberang Takir sekali lagi menjadi tumpuan masyarakat setempat apabila Program Menelusuri Ibrah Qurani Siri ke-14 berjaya dianjurkan dengan penuh pengisian ilmu dan penghayatan al-Quran, pada Khamis, 29 Januari 2026.
Program yang bermula seawal jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat.
Kehadiran para asatizah, para masyayikh serta jemaah daripada pelbagai lapisan umur menyerikan lagi majlis yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan.
Atur cara dimulakan dengan ketibaan para peserta serta jemputan VIP sebelum diteruskan dengan aluan oleh Pengerusi Majlis.
Program kemudiannya diserikan dengan Majlis Tadarus dan Tadabbur al-Quran yang memfokuskan Surah al-Mulk ayat 1 hingga 30.
Majlis tadarus telah dipimpin oleh Sheikh Bilal Al-Hossayny, mantan Imam UMT, bersama Ustaz Abdul Hadi Che Abdul Halim, juara tilawah al-Quran peringkat antarabangsa.
Pengisian tadabbur pula disampaikan oleh Ustaz Kamaruzaman Abdullah, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS), yang menekankan pengajaran dan hikmah Surah al-Mulk dalam membentuk keimanan serta kesedaran terhadap kebesaran Allah SWT.
Kemuncak program ialah Majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh Khazan, disusuli bacaan doa dan penyampaian cenderahati kepada para jemputan.
Program diakhiri dengan jamuan makan tengah hari serta solat Zuhor dan bersurai.
Program Menelusuri Ibrah Qurani Siri 14 ini bukan sahaja menjadi platform penghayatan al-Quran, malah berperanan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat serta menyemarakkan budaya ilmu di negeri Terengganu, selaras dengan aspirasi Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.
Pengarah program, Ahmad Faizuddin Ismail berkata, tujuan program diadakan bertujuan meningkatkan penghayatan Al-Quran serta membentuk sahsiah dan jati diri dalam kalangan masyarakat.
“Program tahunan i-MiTS Negeri itu antara lain bertujuan mencintaiAl-Quran & berusaha mengimarahkan lagi masjid dalam Negeri Terengganu sekaligus bertepatan dengan slogan Terengganu Maju, Berkat & Sejahtera,”katanya.