Program Pertanian Bandar Perkukuh Fungsi Masjid

KUALA TERENGGANU, 29 November - Program pertanian fertigasi dan hidroponik yang dilaksanakan pihak masjid berjaya mengukuhkan serta mengembangkan lagi institusi itu sebagai pusat aktiviti masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, Masjid Pengkalan Berangan, Marang antara contoh yang berjaya dengan projek pertanian fertigasi.

"Kerajaan mengajak pengurusan masjid dan ahli kariah agar memanfaatkan tanah atau ruang kosong dalam kawasan masjid dengan aktiviti pertanian yang mana kaedah fertigasi atau hidroponik antara sistem pertanian bandar yang sesuai dipraktikkan. 

"Dilaksanakan dibawah Program Pertanian Bandar, peruntukan disediakan kerajaan bagi kategori Individu adalah sebanyak RM500, usahawan (RM5,000), komuniti (RM20,000) dan institusi (RM10,000)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Perbahasan ke Atas Enakmen Pebekalan 2024 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu yang telah merintis Program Pasar Tani Masjid di Masjid Sentul Patah, Marang.

"Ia sangat berkesan ke arah mempelbagaikan masjid sebagai pusat sosioekonomi penduduk setempat.

"Ia selaras dengan galakan kerajaan negeri supaya masjid sebagai pusat pengumpulan hasil tani dalam memperkasakan fungsi institusi masjid," katanya.


Tag: