Projek Dalamkan Muara Tingkat Pendaratan Ikan

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Jumlah pendaratan ikan di negeri ini dijangka meningkat semula selepas kerja-kerja mendalamkan muara sungai dilakukan di beberapa daerah untuk memudahkan nelayan mendaratkan hasil laut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, sebanyak 14 muara sungai terdapat di negeri ini dan kerja-kerja mendalamkan muara tersebut akan dilakukan secara berperingkat.

Menurutnya, setakat ini, projek mendalamkan beberapa muara sungai diluluskan seperti muara Sungai Kemaman, Dungun, Merchang dan Kuala Mangkuk di Setiu.

Katanya, keadaan muara sungai dan pelabuhan perikanan yang cetek menimbulkan masalah kepada nelayan mendaratkan ikan kerana bot mereka tidak dapat menghampiri kawasan jeti dan pelabuhan.

“Masalah muara sungai yang cetek itu juga merupakan antara punca nelayan di negeri ini mendaratkan hasil laut di pelabuhan Tok Bali, Kelantan dan Kuatan, Pahang serta di Endau, Johor.

“Tindakan nelayan tersebut menyebabkan berlaku kekurangan pendaratan ikan di negeri ini sehingga menyebabkan harga ikan mahal di pasaran,” katanya seperti yang dipetik dalam laporan Utusan Malaysia.

Akhbar tersebut pada 3 Julai lalu melaporkan sebanyak 21 projek pemulihan muara sungai dan pengawalan hakisan pantai bernilai keseluruhan RM1.55 bilion diluluskan di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara projek tersebut yang dalam pembinaan adalah di muara Sungai Merchang berharga RM30.5 juta bermula pada 15 Disember 2021 dan dijadualkan siap pada 14 Disember 2023.

Katanya, projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang itu melibatkan kerja pengorekan alur navigasi dari muara Sungai Merchang sehingga Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, pembinaan struktur pemecah ombak, struktur dinding penahan, lapis lindung dan penyuburan pantai.

Selain itu, Azman memberitahu, hasil pendaratan ikan di negeri ini menunjukkan peningkatan kira-kira 20 peratus dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Jelasnya, jumlah pendaratan ikan di negeri ini mencecah lebih 11,837 tan metrik sepanjang empat bulan pertama tahun ini berbanding 10,177 tan metrik dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Tambahnya, peningkatan jumlah pendaratan itu berlaku selepas kerajaan menerusi Jabatan Perikanan Negeri Terengganu meluluskan lesen kepada 600 nelayan pantai zon A pada tahun lalu.

Katanya, sebelum ini, nelayan pantai terbabit tidak mengisytiharkan jumlah hasil tangkapan mereka kerana tidak memiliki lesen untuk aktiviti menangkap ikan
 


Tag: