BESUT, 3 Mac - Projek penternakan ikan keli dalam tangki simen, di bawah program Basmi Miskin Tegar (BMT) dijangka dapat membantu meningkatkan ekonomi golongan berpendapatan rendah (B40).
Mentor program tersebut, Rohaizat Junaidi Jusoh, 40, berkata program di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu sudah berjaya membantu 13 penduduk dari Kampung Pengkalan Atap untuk menambah pendapatan sampingan.
"Terhasilnya projek penternakan ikan keli ini adalah disebabkan negeri di Pantai Timur, khusunya Terengganu kekurangan bekalan ikan keli. Jadi sebagai salah satu inisiatif, kami cuba untuk jalankan projek penternakan ikan keli ini.
"Hari ini sebagai pelancaran kita masukkan 30 ribu ekor anak ikan keli ke dalam tangki simen dan hasilnya akan mula dikutip setelah empat bulan setengah.
"Anggaran sasaran pengeluaran paling minima adalah lebih kurang 700 kilogram sehingga 1 tan sebulan, dengan harga pasaran RM6 sekilo. Sekiranyanya sasaran pengeluaran tersebut tercapai, peserta akan mendapat hasil keuntungan hampir RM6 ribu sebulan," katanya ketika ditemui media selepas selesai sesi melepaskan anak ikan keli ke dalam sangkar.
Menurut Rohaizat lagi, dia akan membimbing kesemua peserta dari 'A hingga Z', bermula daripada pengeluaran hasil kepada fasa pemasaran dalam tempoh dua tahun sehingga semua peserta boleh berdikari menguruskan projek tersebut sendiri.
Sementara itu salah seorang peserta program tersebut, Zulkifli Ibrahim, 37, meluahkan rasa syukur kerana terpilih untuk menjadi salah seorang peserta.
"Saya sebagai salah seorang peserta yang terpilih rasa sangat bersyukur dan saya ucap jutaan terima kasih kepada pihak yang terlibat kerana memilih saya sebagai salah seorang peserta program ini. Terutamanya kepada pegawai-pegawai yang terlibat, Azbi dan Mentor program ini," ujarnya dengan penuh rasa terharu.