Projek Lambaian Bayu Kejutan Baru Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 November – Projek Lambaian Bayu yang bermula dari Teluk Ketapang sehingga ke Pantai Pandak, Chendering bakal menjadi tumpuan sektor pelancongan Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, projek tersebut mempunyai jarak keseluruhan lebih kurang 16 kilometer.
“Projek yang bernilai RM200 juta itu sedang diusahakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
"Ia membabitkan pembangunan enam zon secara berperingkat iaitu Zon Pesisir Payang, Zon Pesisir Takir, Zon Pemecah Ombak, Zon Primula Batu Burok, Zon Muara Ibai dan Zon Pantai Pandak," jelasnya.
Beliau berkata demikian Ketika Sesi Perbahasan ke Atas Enakmen Pebekalan 2024 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Tambah Zuraida, Kuala Terengganu adalah sebuah bandar yang mempunyai pemandangan yang cukup indah sesuai dengan imejnya sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.
Tambahnya lagi, projek ini merupakan satu inisiatif dalam memperkasa pengisian bandar bertemakan warisan pesisir air.
Katanya, melalui pembangunan produk-produk pelancongan baharu selain memberi nilai tambah pada kawasan pelancongan sedia ada.
Beliau berkata, ini menepati sasaran ke empat yang terkandung dalam ucapan belanjawan yang telah dibentangkan iaitu Industri Pelancongan yang perlu diperkasakan dengan kepelbagaian produk, ketersediaan kemudahan dan pemuliharaan pelbagai sumber.
Oleh itu, Projek Lambaian Bayu ini diberi perlu diberi perhatian sebagai penggerak ekonomi melalui inisiatif pembangunan produk-produk pelancongan baharu.
“Projek ini semestinya akan menjadi tumpuan pelancong sekali gus menyumbang peningkatan ekonomi rakyat menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan para usahawan.
“Apa yang mustahak adalah aspek penjagaan ekosistem juga perlu dititikberatkan demi kelangsungan hidup generasi akan datang,” ujarnya.