Projek perumahan setinggi lima tingkat melibatkan empat blok itu mula dibina pada 2012 di kawasan seluas 1.7 hektar kini hampir 86 peratus siap.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata projek rumah pangsa mampu milik yang bernilai RM28.6 juta itu adalah projek perumahan yang pertama di pusat peranginan itu.
"Harga yang ditawarkan kepada pemohon yang berkelayakan hanya RM68,000 seunit walaupun kerajaan terpaksa menanggung kos pembinaan lebih RM250,000.
"Nilai projek yang terpaksa ditanggung lebih tinggi dibandingkan di tanah besar, bagaimanapun kerajaan tetap mengenakan harga mengikut kemampuan penduduk yang hanya perlu membayar RM184 sebulan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau projek perumahan itu sempena Lawatan Rasmi Menteri Besar Ke Pulau Redang, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee dan Ahli Dewan Undangan Negeri, Bazlan Abd Rahman.
Ahmad Razif berkata, setiap unit rumah dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air itu cukup penting bagi penduduk yang kebanyakannya hanya pekerja resort dan nelayan.
"Ada di kalangpan mereka yang terpaksa tinggal berhimpit dua hingga empat keluarga dalam kediaman ibu bapa kerana kesempitan wang untuk membina rumah sendiri,"katanya.