KUALA TERENGGANU, 30 Jun – Tasik Kenyir bakal menjadi lokasi utama untuk pembangunan 'solar park' bertaraf dunia dengan pelancaran projek baru oleh kerajaan negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman, berkata projek tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pendapatan negeri melalui teknologi hijau.
“Projek 'solar park' ini bukan sahaja akan meningkatkan penggunaan tenaga hijau tetapi juga dijangka memberi sumbangan besar kepada ekonomi negeri.
“Teknologi hijau, seperti yang kita kenali dengan hidro Kenyir sebelum ini, kini kita akan mengembangkan lagi dengan ladang solar dan 'solar park'. Tasik Kenyir adalah tempat yang sesuai untuk projek berkenaan," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Bicara Parlimen 3.0 dengan tajuk Penjanaan Pendapatan Baharu: SG4 Berdaya Maju, menerusi siaran langsung Facebook TV Darul Iman baru-baru ini.
Turut hadir dalam program itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid.
Tambah Nurkhuzaini, projek itu akan menjadikan Tasik Kenyir sebagai salah satu daripada 10 lokasi solar park terbaik di dunia, berdasarkan potensi besar tasik itu untuk menghasilkan tenaga solar.
“Kerajaan juga merancang untuk membangunkan 'solar park' di atas air, yang menjadikan Tasik Kenyir unik dalam penggunaan teknologi hijau.
“Kami merancang untuk membangunkan 'solar park' yang mempunyai manfaat ganda. Selepas solar, kami juga akan mempertimbangkan untuk menggunakan mini hidro dari sungai-sungai besar di kawasan ini, yang sebelum ini belum pernah diterokai,” tambahnya.
Selain membawa pendapatan tambahan, projek solar park di Tasik Kenyir juga dijangka membuka peluang pekerjaan baharu dan mempromosikan penggunaan tenaga bersih dalam komuniti setempat.
"Projek ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri Terengganu dalam memimpin bidang teknologi hijau untuk memastikan kelestarian alam sekitar dan mencapai matlamat ekonomi dan ekologi yang mampan.
"Kerajaan negeri juga merancang untuk membangunkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan teknologi hijau, menarik pelancong dari dalam dan luar negara yang berminat dengan inisiatif pembangunan mampan," ujarnya.