KUALA NERUS, 23 November – Walaupun gagal mencipta keajaiban di halaman sendiri, Terengganu FC IV tetap mampu berbangga dengan pencapaian sebagai naib juara Piala Belia 2024.
Pasukan muda itu tewas 3-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) FC IV dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, menjadikan keputusan agregat 5-7 memihak kepada JDT.
Turun dengan kesebelasan terbaik selepas terikat 2-2 pada aksi akhir pertama di Pasir Gudang minggu lalu, pasukan muda Terengganu mendapat sokongan penuh penyokong setia yang memenuhi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin
Meskipun bermain di hadapan penyokong sendiri, hujan lebat dan permukaan padang basah menguji ketangkasan kedua-dua pasukan.
Namun, pasukan pelawat lebih bijak menyesuaikan diri dengan keadaan sukar ini.
Kesilapan pertama berlaku pada minit ke-18 apabila pertahanan Terengganu gagal mengawal asakan pantas JDT, menyebabkan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan lawan.
Daniesh Amiruddin dengan tenang menjaringkan gol pertama untuk meletakkan JDT FC IV di depan.
Malang sekali lagi menimpa tuan rumah apabila penjaga gol mereka, Ariff Safwan, melakukan kesilapan pada minit ke-26.
Penalti kedua diberikan, dan Zamir Zairi menyempurnakannya tanpa masalah, menjadikan agregat 4-2 untuk JDT.
Namun, Terengganu tidak menyerah kalah, dalam suasana padang yang basah, mereka menemui ruang melalui serangan balas.
Che Ku Irfan berjaya memanfaatkan hantaran cantik Zarul Izree untuk menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-35.
Semangat pemain muda Terengganu memuncak apabila Iskandar Akmal menyamakan kedudukan 2-2 sebelum tamat separuh masa pertama.
Sepakan kencang dari luar kotak penalti, menjadi detik kebangkitan sementara buat pasukan tuan rumah.
Namun, kebangkitan Terengganu FC IV tidak bertahan lama.
Pada babak kedua, JDT kembali menunjukkan keunggulan mereka, Zamir Zairi sekali lagi mencuri tumpuan apabila rembatan jauhnya pada minit ke-52 menggegarkan jaring Terengganu.
JDT semakin selesa di hadapan apabila kapten mereka, Adib Ibrahim, menanduk masuk gol keempat pada minit ke-73 hasil hantaran Lutfil Hadi.
Dalam suasana hujan yang masih tidak berhenti, JDT terus menguasai tempo permainan dengan menggunakan kelebihan fizikal dan kepintaran taktikal.
Gol kelima JDT pada minit ke-84 benar-benar memadamkan semangat pasukan tuan rumah. Alauddeen Aliff, dengan larian deras di bahagian sayap, menghantar bola lintang sempurna yang ditanduk mudah oleh Abid Safaraz.
Walaupun permainan semakin sukar, Terengganu FC IV tetap tidak berputus asa.
Iman Alif berjaya menanduk masuk hantaran kapten pasukan Solihin Hakimi pada masa tambahan, tetapi jaringan itu hanya sekadar penghias keputusan perlawanan.
Wisel penamat dibunyikan dengan keputusan 3-5, memuktamadkan kemenangan buat JDT FC IV.
Kekalahan ini menyakitkan buat pasukan Terengganu FC IV, tetapi ia juga menjadi pengalaman berharga buat pasukan muda ini.
Dengan hadiah wang tunai RM30,000 sebagai naib johan, masih boleh berbangga dengan usaha dan semangat juang yang ditunjukkan sepanjang kejohanan.
Pasukan muda ini membuktikan mereka adalah antara kuasa besar dalam arena bola sepak belia negara.
Bagi JDT FC IV, kemenangan ini mengukuhkan reputasi mereka sebagai raja bola sepak negara.
Dengan piala kejuaraan dan wang tunai RM60,000, mereka membuktikan bahawa disiplin dan ketahanan mental adalah kunci kejayaan, walaupun beraksi dalam keadaan padang yang serba mencabar.