Jalur Gemilang
Berita :
Projek Tebatan Banjir Sungai Kemasik Siap, Lindungi Lebih 1,500 Penduduk
Projek Tebatan Banjir Sungai Kemasik Siap, Lindungi Lebih 1,500 Penduduk
Mastura Jamal Din
22 jam yang lepas
333

KEMAMAN, 29 Oktober - Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kemasik bernilai RM47.03 juta yang siap sepenuhnya pada 15 Oktober lalu dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,500 penduduk di empat kampung di Kemasik yang sering berdepan ancaman banjir, terutama ketika musim tengkujuh.

Projek yang bermula pada 28 Mac 2023 itu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir yang kerap melanda Pekan Kemasik dan kawasan sekitarnya, termasuk Kampung Baru, Kampung Baru Kiri dan Kanan Kemasik, Kampung Gong Chengal serta Kampung SarangLang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat berkata, projek berkenaan merupakan antara usaha meningkatkan keupayaan sistem sungai dan saliran bagi menangani masalah banjir di kawasan berkenaan.

Katanya, antara punca banjir dikenal pasti ialah pembangunan pesat di kawasan tadahan hulu, keadaan sungai yang sempit dan cetek, mendapan pasir di muara serta halangan aliran air di Sungai Sekilir.

“Skop utama projek merangkumi kerja mendalamkan sungai dan pembinaan ban sungai sepanjang tujuh kilometer, selain pembinaan kolam takungan seluas 30 hektar.

“Projek itu turut melibatkan pembinaan jambatan di Sungai Sekilir serta pemasangan komponen kawalan banjir, termasuk pam, pintu kawalan banjir (flood gate), pintu kepak (flap gate) dan sistem pemantauan serta kawalan,” ujarnya ketika dihubungi.

Tambah beliau, pelaksanaan projek berkenaan dijangka membantu melancarkan aliran air sungai dan saliran, sekali gus mengurangkan risiko banjir serta melindungi keselamatan penduduk.

Selain itu katanya, usaha berkenaan turut bertujuan meminimumkan kerosakan harta benda dan infrastruktur akibat kejadian banjir yang sering menjejaskan kehidupan penduduk setempat.
Hanafiah juga berkata, dengan siapnya projek RTB Sungai Kemasik, sistem tebatan banjir di kawasan berkenaan diharap dapat berfungsi dengan lebih berkesan dalam menghadapi peningkatan aliran air, khususnya ketika hujan lebat dan musim tengkujuh.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan