Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu menerima kira-kira 23,000 permohonan Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) sehingga pagi ini, selepas dilancarkan kerajaan negeri dalam usaha memastikan lebih ramai rakyat memiliki lot tanah untuk pembinaan rumah kediaman.
Timbalan Pengarah (Khidmat Pengurusan) PTG Negeri, Jahani Ismail berkata, sejak skim berkenaan diiklankan bermula 2 Ogos lalu, permohonan yang diterima amat memberangsangkan.
“Walaupun hebahan secara manual iaitu dengan menampal iklan di semua PTG daerah dan tempat tumpuan umum belum dibuat, tetapi kita telah menerima sebanyak 23,000 permohonan secara online.
“Berdasarkan sambutan yang luar biasa tidak sampai seminggu diiklankan, saya yakin jumlah permohonan akan terus meningkat sehingga tarikh tutup permohonan pada 31 Ogos ini,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.
Menurut Jahani, sekiranya terdapat sebarang perubahan yang ingin dibuat terhadap borang permohonan yang telah diisi secara online termasuk maklumat peribadi, pindaan lot tanah pilihan dan sebaginya, pemohon boleh mengemaskini borang permohonan masing-masing sebelum tarikh tutup.
Jahani berkata, beliau turut mencadangkan pemohon meletakkan nombor kad pengenalan sebagai kata laluan untuk melancarkan proses mengemaskini atau mengisi borang permohonan.
Katanya, sepertimana yang diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman baru-baru ini, orang ramai boleh memohon lot tanah di luar daerah masing-masing asalkan mereka sudah berdaftar sebagai pemilih.
“Contohnya, pemohon dari daerah Kuala Nerus boleh memohon lot tanah di Kuala Terengganu ataupun daerah-daerah lain,” ujarnya.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, rakyat Terengganu yang belum memiliki tanah atas nama sendiri boleh memohon Skim Khas RTB Tapak Rumah melibatkan 5,939 lot tanah di seluruh negeri ini.
Ianya meliputi Setiu (3,362), Dungun (1,332), Kemaman (928), Kuala Terengganu (109), Marang (71), Besut (69) dan Kuala Nerus dan Hulu Terengganu masing-masing 34 lot.
Permohonan tersebut boleh dilakukan secara atas talian melalui https//tanahrtb.terengganu.gov.my dan http://pttrg.terengganu.gov.my.
Sebanyak 50 peratus daripada 5,939 lot tanah yang ditawarkan dibuka kepada golongan belia berusia 21 hingga 40 tahun manakala selebihnya pula untuk mereka berkelayakan yang berumur 41 tahun ke atas.
Antara syarat yang perlu dipenuhi bagi memohon skim Khas RTB tersebut ialah anak jati Terengganu, berkahwin, berpendapatan isi keluarga tidak melebihi RM3,500 sebulan, berdaftar sebagai pemilih pilihan raya di negeri ini dan belum pernah memiliki tanah serta rumah.
Antara syarat yang perlu dipenuhi bagi memohon skim Khas RTB tersebut ialah anak jati Terengganu, berkahwin, berpendapatan isi keluarga tidak melebihi RM3,500 sebulan, berdaftar sebagai pemilih pilihan raya di negeri ini dan belum pernah memiliki tanah serta rumah.