Pulau Bidong Diwartakan Sebagai Taman Negeri Lindungi Khazanah Biodiversiti
KUALA TERENGGANU, 7 November - Dalam usaha melindungi kekayaan biodiversiti negeri, Kerajaan Negeri Terengganu telah membuat keputusan bersejarah untuk mewartakan Pulau Bidong sebuah pulau yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan sejarahnya sebagai sebuah Taman Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris menyifatkan Pulau Bidong yang sebelum ini dikenali sebagai tempat perlindungan dan tapak sejarah bagi pelarian Vietnam, kini akan menjadi permata ekologi yang dilindungi sepenuhnya.
“Seiring dengan hasrat melindungi kepelbagaian biologi negeri, saya mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu telah bersetuju untuk mewartakan Pulau Bidong sebagai sebuah Taman Negeri.
“Terletak di Daerah Kuala Nerus dengan keluasan sekitar 231.3 hektar, pewartaan ini juga meliputi kawasan 1 batu nautika dari garis air surut pulau tersebut.
“Langkah ini akan memastikan pulau tersebut, dengan flora dan fauna uniknya, berada di bawah pengurusan rapi dan pemantauan berterusan di bawah urustadbir Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penutup sempena Seminar Biodiversiti Terengganu 2024, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, disini, semalam.
Menurut Razali, proses pewartaan ini akan diselaraskan dalam masa terdekat dan akan diiringi dengan program-program yang bertujuan untuk mendidik serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perlindungan biodiversiti di negeri ini.
“Dengan menjadikan Pulau Bidong sebagai Taman Negeri, Terengganu memberi isyarat yang jelas bahawa perlindungan alam sekitar dan kekayaan biodiversiti adalah komitmen yang kukuh dan akan terus diperjuangkan.
“Dengan usaha berterusan ini, kami berharap kesedaran individu dan masyarakat akan terus meningkat terhadap pentingnya memelihara biodiversiti, kerana kesedaran adalah asas utama untuk memastikan kelestarian khazanah alam yang sangat bernilai ini. Langkah ini juga selaras dengan kesedaran global yang semakin tinggi terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Razali juga menyeru untuk memupuk kesedaran dan meningkatkan struktur pengurusan bagi melindungi kepelbagaian biologi di Terengganu adalah sebuah visi yang bukan hanya menekankan keperluan masa kini, tetapi juga keberlangsungan masa hadapan.
“Sebagaimana titah penyempurnaan perasmian oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada sesi pagi tadi, marilah sama-sama kita berusaha yang terbaik untuk memupuk kesedaran, seterusnya meningkatkan struktur pengurusan didalam melindungi kepelbagaian biologi.
“Dengan adanya usaha yang holistik dan berterusan, Terengganu mampu menjadi model unggul bagi pengurusan biodiversiti yang mampan.
“Menjadi negeri contoh dalam aspek ini bukan sahaja akan membawa manfaat kepada penduduk tempatan dari segi ekonomi melalui ekopelancongan, tetapi juga memberikan faedah tidak ternilai kepada generasi akan datang. Mereka akan mewarisi bumi yang kaya dengan kepelbagaian biologi, menikmati udara bersih, air jernih, dan keindahan semula jadi yang tidak ternilai,” jelasnya.