Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Pulau Kekabu Jadi Tumpuan Peniaga Kecil
MARANG,8 Mei -Pulau Kekabu yang terletak hanya beberapa minit dari Jeti Marang untuk ke Pulau Kapas yang menjadi tarikan pelancong kini turut menjadi tumpuan para peniaga kecil mencari rezeki.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga kecil Daerah Marang, Zakaria Ngah berkata prasarana di sekitar Pantai Pulau Kekabu itu sangat memuaskan dengan mempunyai 39 tapak petak untuk para peniaga.
"Dapat dilihat peningkatan para pengunjung lebih-lebih lagi pada cuti persekolahan dan hujung minggu
“Suasana yang sangat padat, menjadikan suasana lagi meriah dan kebanyakkan pelancong datang dari luar negeri serta ada yang berkhemah di pantai ini menikmati keindahan malam Pulau Kekabu.
"Ia memberi peluang yang sangat baik untuk para peniaga meraih pendapatan yang sangat baik dan harga barang jualan masih dapat dijual dengan harga yang berpatutan bagi menarik lebih ramai pelancong untuk datang," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Persatuan Kebajikan dan Peniaga Kecil Daerah Marang, di sini, semalam.
Turut hadir, Pegawai Khas Adun Rhu Rendang, Ustaz Najmuddin Rani ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Persatuan Kebajikan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Marang.
Zakaria berkata kawasan berkenaan berpotensi untuk bertambah maju di masa akan datang.
"Adalah menjadi hasrat agar kawasan ini dapat membangun lagi dan pihak kerajaan dapat meluaskan lagi tempat letak kereta dan kawasan meniaga supaya tidak berlaku kesesakan di pantai ini.
"Dari sudut kebersihan pihak kami sangat berterima kasih kepada pihak kontraktor pembersih yang sentiasa mengambil berat tentang keindahan pantai ini yang selama ini menjadi hasrat kerajaan bagi memastikan pantai di Terengganu sentiasa bersih.
"Begitu juga dengan tandas yang sangat memuaskan tahap kebersihannya bagi kemudahan orang ramai," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, melalui Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Marang yang ditubuhkan pada tahun 2021 sangat menjamin kebajikan para peniaga terutama ketika menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu serta berhadapan musibah yang tidak dijangka.