Pusat Pintar Bantu Warga Emas Ke Arah Pendigitalan

KUALA TERENGGANU, 19 November- Kerajaan negeri sedang berusaha memperkasakan Pusat Internet Akses Rakyat (Pintar) untuk memberi pendedahan kepada rakyat tentang pendigitalan terutamanya di kalangan warga emas dan penduduk di kawasan pedalaman.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian, dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, selain menawarkan akses internet percuma kepada rakyat, pusat berkenaan turut dilengkapi dengan kemudahan PintarPay. 

“PintarPay menawarkan pusat perkhidmatan setempat komunikasi seperti prepaid reload, postpaid dan pembayaran bil utiliti sekali gus memudahkan proses pembayaran bil tanpa perlu orang awam mengunjungi agensi yang berkaitan.

“Banyak aplikasi yang ada tetapi penggunaannya tidak begitu memberangsangkan kerana kurang kesedaran di kalangan rakyat terutamanya golongan warga emas,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Ghazali mengemukakan soalan mengenai apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam memberi pendedahan khususnya dari sudut pendigitalan terutamanya bagi golongan warga emas dan penduduk di kawasan pendalaman memandangkan Kerajaan Terengganu telah merasmikan program Terengganu Smart City dan akan dilaksanakan di seluruh Negeri Terengganu.

Mengulas lanjut Nurkhuzaini berkata, kerajaan negeri akan berusaha memberikan kesedaran kepada rakyat bagi menggalakkan mereka menggunakan aplikasi-aplikasi yang disediakan ke arah merealisasikan Terengganu Smart City.