Rakyat Dijemput 'Rumbu' Dialog Exco

KEMAMAN, 19 September- Penganjuran program Dialog Exco Kerajaan Negeri wajar dihadiri oleh penduduk setempat dalam usaha mewujudkan komunikasi lebih baik diantara rakyat dan barisan kepimpinan kerajaan Terengganu.

Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa berkata, selain mengeratkan hubungan exco dengan rakyat, persoalan yang dikeluarkan antara tanda keterbukaan kerajaan Terengganu untuk menyelesaikan segala permasalahan rakyat.

"Apa sahaja yang terbuku pada rakyat dan apa sahaja kemampuan yang ada kerajaan akan buat setulusnya untuk menyelesaikan masalah. Kita akan jelajah ke lapan-lapan daerah melibatkan exco-exco tertentu dan bersesuaian, exco tempatan pasti akan ada dan juga tambahan exco kawasan lain.

"Paling besar sekali adalah kehadiran sebenarnya. Jika exco, agensi semua datang tetapi tidak ramai (penduduk) datang, ia merugikan. Sebab masa yang ada dan juga program diatur bukan boleh diadakan setiap bulan.

"Tetapi dengan program ini, kita harap semua kehadiran penuh dan kita uar-uarkan awal lagi supaya rakyat datang bagi menyampaikan apa yang perlu kepada kerajaan Terengganu untuk dijawab dan diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Dialog Exco Kerajaan Negeri siri pertama di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), di sini semalam.

Program tersebut menampilkan Pengerusi Jawatankuasa Pelanconagn , Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato' Razali Idris dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat.

"Setelah selesai siri pertama bagi sesi 2024, kehadiran memuaskan dan soalan dikemukakan cukup membantu sebenarnya. Rupa-rupanya ada perkara-perkara yang terbuku di pihak rakyat untuk bertemu dengan pimpinan dan Alhamdulillah ia berjalan dengan cukup baik serta harmoni.

"Doakan semoga usaha UPDI untuk menyampaikan maklumat daripada kerajaan negeri kepada rakyat terlaksana, bukan sahaja turun ke lapangan tetapi kita juga berhadapan secara langsung untuk menerima dialog exco ini supaya mendatangkan hasil dan penyelesaian yang terbaik untuk kerajaan negeri," ujarnya.

 


Tag: