Rakyat Jangan Keliru Dengan Helah Pembangkang- PM


Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengingatkan rakyat supaya tidak terkeliru dengan permainan politik pembangkang yang bersifat matlamat menghalalkan cara.

Katanya, pembangkang sebenarnya berbuat sedemikian semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Dulu kutuk antara satu sama lain, tapi hari ini jilat semula. Dulu cakap lain, hari ini cakap lain. Matlamatnya menumbangkan kerajaan dan caranya dengan bersekongkol dengan musuh,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Jom Bantu Rakyat peringkat negeri dan Majlis pecah Tanah Tapak Perumahan Idaman Rakyat SPNB Kampung Santong, Paka Dungun, petang tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Dato’ Jailani Johari.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, barisan ecxo kerajaan negeri, Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Din Adam dan Ketua Eksekutif Kumpulan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Ahmad Azizi Ali.


Projek  Perumahan Idaman Rakyat  yang dibangunkan SPNB Idaman Sdn Bhd, melibatkan 229 unit rumah teres setingkat, teres dua tingkat, berkembar dua tingkat dan rumah kedai di kawasan seluas 26 ekar di Taman Desa Idaman, Kampung Santong.

Mohd Najib berkata, dalam Islam amat menekankan amalan dan matlamat perlu suci, begitu juga dalam politik.

 “Matlamat mesti suci, cara pun mesti betul. Kalau cara tidak betul, ibadat kita Allah tidak terima. Semua kena betul kalau cara tidak betul, kaedah tidak betul ibadat kita walaupun niat baik, Allah tidak terima.

"Jika dah tahu orang itu tak suka dengan perkembangan Islam di tanah air kenapa pula kita hendak bersekongkol dengan mereka,” ujarnya.

Katanya, kerajaan BN dan UMNO sebaliknya sentiasa memperjuangkan syiar Islam sehingga mendapat pengiktirafan negara luar.

"Kalau orang kata dasar UMNO ini bertentangan Islam, sudah tentu Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud tidak akan benarkan nama baginda digunakan pada King Salman Centre for Global Peace (Pusat Keamanan Global Raja Salman)," katanya.

Penubuhan pusat keamanan global di negara ini yang dinamakan King Salman Centre for International Peace bertujuan membanteras naratif yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang radikal dan ekstremis.

Tag: