KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Rakyat Terengganu yang sudah lengkap dua dos vaksin dibenar menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau terpilih walaupun belum disuntik dos penggalak.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, walau bagaimanapun kelonggaran itu tidak sepatutnya menjadi 'lesen' untuk orang ramai mengabaikan tanggungjawab mendapatkan dos penggalak.
Katanya, orang ramai tetap digalakkan mendapatkan suntikan dos terbabit.
"Prosedur operasi standard (SOP) sedia ada termasuk penjarakan antara jemaah dan mewajibkan setiap jemaah merekodkan butiran menggunakan aplikasi MySejahtera masih dikekalkan kepada setiap ahli jemaah.
"Mereka juga wajib merekodkan butiran peribadi seperti menulis nombor telefon pada buku disediakan di pintu masuk masjid," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin.
Mengulas lanjut Shaikh Harun berkata, sebelum ini Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sudah menitahkan agar semua masjid berusaha menambahkan bilangan jemaah solat Jumaat.
“Pihak masjid perlu menyediakan kanopi mencukupi di ruang luar, termasuk di parkir masjid atau ruang kosong bersesuaian bagi membolehkan lebih ramai jemaah dapat mendirikan solat Jumaat.
“Masjid yang mempunyai ruang solat bertingkat juga sudah dititahkan dibuka dan digunakan sepenuhnya untuk kegunaan solat Jumaat.
"Mesyuarat khas Maidam kali pertama yang bersidang pada 11 Januari lalu mengambil keputusan dan ketetapan bersetuju pengimbas suhu badan tidak diwajibkan," tambah beliau.
Pada Isnin lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan hanya mereka yang telah lengkap vaksinasi dan dos penggalak sahaja dibenarkan hadir bagi menunaikan solat Jumaat di semua masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di Selangor.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, ia dilaksanakan susulan penularan pandemik Covid-19