KUALA TERENGGANU, 22 September - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) akan kembali mempromosikan Rantau Abang sebagai pusat tumpuan pelancong melihat penyu bertelur dengan kaedah yang lebih teratur tanpa mengganggu habitat semulajadi itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Terengganu, Dato' Razali Idris berkata, pihaknya akan mula melaksanakan program baik pulih lokasi itu sebagai destinasi penyu.
"Sebenarnya, ini kuasa Allah SWT penyu singgah ke jajaran pantai Rantau Abang, yang pertama di pantai Pasir Putih itu juga sebahagian jajaran itu. Kita nampak, penyu Belimbing hendak kembali semula ke Rantau Abang. Sebab itu, saya sudah dua kali ke pantai Rantau Abang dan berpesan kepada pengusaha-pengusaha di sana supaya jaga kelestariannya.
"Jangan pegang lagi walaupun Penyu Belimbing ini agak kasar. Dia tidak sama seperti penyu lain dan tetap naik ke pantai (untuk bertelur) walaupun ada orang.
"20, 30 tahun dahulu, orang duduk atas belakang. Cuba tolong gali lubang telurnya dan pegang 'punggungnya' ketika bertelur, sebab itu ia hilang," katanya.
Tambahnya, semua pihak di negeri ini bertanggungjawab menjaga Penyu Belimbing yang sebelum ini telah hilang dari pandangan negara kita berbelas tahun, kini telah kembali.
"Kalau tengok penyu, jangn cuba memerangkapnya sebab apa? Sebab penyu adalah ikon yang paling unik bagi negeri Terengganu.
"Sebab itu kita kena jaga kelestarian pantai kita," nasihatnya.