• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

Ribuan Pengunjung Terpukau Dengan Aksi Jet Tempur Sukhoi

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Sebaik sahaja deruman enjin pesawat Sukhoi (Su-30MKM) kedengaran di Dataran Shah Bandar, ribuan warga Darul Iman mendongak ke langit dan terpukau dengan aksi akrobatik deformasi jet pejuang tersebut.

Itulah antara suasana yang berlaku di Majlis Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Terengganu hari ini.

Seawal 7.30 pagi, kereta telah bersusun meniti jalan-jalan dalam bandar raya Kuala Terengganu menuju ke lokasi perbarisan dan perarakan sambutan kali ke-67.

Orang ramai dilihat teruja menyaksikan perarakan pasukan yang terdiri daripada agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri, syarikat korporat, institusi pengajian, kumpulan pancaragam dan badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh Terengganu.

Ribuan rakyat Terengganu hadir bersama-sama keluarga memenuhi ruang di setiap tempat yang kosong bagi menyambut hari yang penuh bersejarah ini.

Kemuncak perarakan ialah ketibaan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan yang berkenan berangkat ke majlis itu pada pukul 9.30 pagi bersama adindanya, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az untuk menyaksikan perarakan kontinjen.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman serta Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.

Sementara itu, lebih 4,000 peserta daripada 122 kontinjen seluruh kawasan di negeri Terengganu terlibat dalam perarakan terbabit.

Persembahan mantap dan penuh disiplin daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu telah berjaya menawan hati para juri, menjadikan mereka juara keseluruhan sekali gus membawa pulang RM5,000, piala pusingan dan sijil.

Dalam kategori Jabatan Kerajaan Tidak Beruniform, Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu berjaya merangkul gelaran johan membawa pulang hadiah RM5,000, piala pusingan dan sijil diikuti oleh Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu sebagai naib johan mendapat RM4,000 dan sijil manakala tempat ketiga disandang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu menerima RM3,000 dan sijil.

Dalam kategori Badan Berkanun Tidak Beruniform, Majlis Perbandaran Dungun muncul sebagai johan, diikuti oleh Majlis Daerah Besut yang dinobatkan sebagai naib johan, manakala Majlis Perbandaran Kemaman menduduki tempat ketiga.

Dalam kategori Jabatan Kerajaan, Institut Pengajian Tinggi (IPT), Badan Berkanun dan Swasta Beruniform, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu telah dinobatkan sebagai johan, diikuti oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu sebagai naib johan, manakala tempat ketiga disandang oleh Kesatria UniSZA.

Dalam kategori Sekolah Menengah Tidak Beruniform, SMA Khairiah telah muncul sebagai johan, diikuti oleh SMK Panji Alam sebagai naib johan, manakala tempat ketiga disandang oleh SMK Seri Nilam.

Bagi kategori IPT Swasta, GLC, Persatuan dan NGO Tidak Beruniform, TNB Terengganu dinobatkan sebagai johan, diikuti oleh Petronas Wilayah Pantai Timur di tempat kedua, dan Epic Berhad di tempat ketiga.

Dalam kategori Pasukan Khas Dewan Undangan Negeri, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bukit Tunggal berjaya merangkul gelaran johan, diikuti oleh PKM DUN Wakaf Mempelam sebagai naib johan, dan PKM DUN Batu Burok di tempat ketiga.

Kategori Sekolah Menengah Beruniform pula menyaksikan PKBM Laut SMK Sultan Ismail menjadi Johan, dengan Kadet Polis SMK Pelagat berada di tempat kedua, dan Kadet Polis SMK Bukit Besar di tempat ketiga.

Bagi kategori Pancaragam Sekolah, SMK Tengku Bariah Brass Band dinobatkan sebagai johan, diikuti oleh Swadaya SMK Chung Hwa Wei Sin sebagai naib johan, manakala LeBEST Band menduduki tempat ketiga.

Di samping itu, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu menerima Anugerah Khas Pakaian Terbaik, manakala Anugerah Ketua Perbarisan Terbaik diberikan kepada PKBM Laut SMK Sultan Ismail.

Di samping itu, penjawat awam, Nur Liyana Mohd Shafie ketika berkata, program itu sangat bermakna buat seluruh lapisan masyarakat.

"Berbaloi bawa keluarga tengok perbarisan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan terutama bawa anak-anak yang sedang membesar bagi menghayati hari bersejarah negara kita. 

"Selain itu, boleh kenal lebih dekat badan-badan beruniform yang ada di Malaysia dan jentera yang digunakan untuk menjaga negara," jelasnya.


Tag: